PERTAHANAN negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili. -FOTO FAM
PERTAHANAN negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara sudah memerah keringat ke tahap maksimum dalam usaha memastikan mampu meraih keputusan positif pada pertemuan tempat ketiga dan keempat Piala AFF B-23 menentang Thailand, petang kelmarin.

Pertahanan kental negara Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili berkata, walaupun terpaksa akur tewas 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti namun secara keseluruhan dia berpuas hati prestasi yang dipamerkan pasukan itu.

"Saya lihat dalam semua perlawanan sudah pastinya kita berikan terbaik untuk pasukan. Seperti yang kami katakan sebelum ini apabila akan lawan habis-habisan apabila menentang Thailand.

"Walaupun, skuad B-23 negara tidak dapat meraih tempat ketiga namun mampu mengheret perlawanan ke sepakan penalti," katanya.

Pada perlawanan petang semalam menyaksikan hasrat pasukan negara mengakhiri saingan Piala AFF B-23 di tempat ketiga lebur apabila tewas kepada Thailand 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Rayong,Thailand.

Keputusan terbabit sekali gus mengulangi rekod 2005 apabila skuad muda negara turut mengakhiri saingan Piala AFF B-23 di bumi Gajah Perang di kedudukan keempat selepas tewas 2-4 kepada Myanmar menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, pujian harus diberikan kepada anak buah E Elavarasan apabila menampilkan permainan lebih mantap berbanding ketika menentang Vietnam tempoh hari dengan sering melancarkan serangan berbahaya dan mengawal perlawanan.

Sementara itu, Ubaidullah berkata, pasukan muda negara itu sudah pastinya akan bangkit pada saingan kelayakan Piala Asia B-23 kelak yang akan berlangsung bulan depan.

"Untuk kejohanan seterusnya (pusingan kelayakan Piala Asia B-23), jurulatih (E Elavarasan) akan pilih bukan saja pemain baru tetapi juga pemain lama.

"Jika digabungkan sudah tentu mampu jadikan kita pasukan yang lebih bagus dan memberi tentangan lebih hebat selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 2:37 PM