Hafiz Ithnin


BAGI pemilik kediaman jenis apartmen berkeluasan 1,014 kaki persegi di Damansara Damai, Selangor ini, kerja-kerja dekorasi secara lakukan sendiri (DIY) memberi kepuasan peribadi yang sukar untuk digambarkan. Malah, hasil sentuhan lelaki berusia 30 tahun itu mencuri perhatian warga maya kerana beberapa barangan DIY untuk dekorasi kediaman mempunyai keunikan tersendiri dan tidak canggung dengan konsep kediaman moden 'mid century' yang ingin di ketengahkannya.

Mohd Felmi Iran Che Ngah berkata, dia baharu menghuni kediaman itu pada 2021 dan memilih konsep kediaman mid century itu kerana ia adalah satu konsep yang malar segar. Katanya, bagi memilih konsep kediaman yang ingin diketengahkan, perkara paling penting ialah memahami cita rasa peribadi dan bukan mengikut trend hiasan dalaman semata-mata.Ini kerana baginya trend sentiasa berubah berbanding cita rasa peribadi.

Dari segi pemilihan konsep mid century pula ia konsep hiasan dalaman yang malar segar dan mudah dipadankan dengan cita rasa vintaj yang diminati.

"Selain itu, saya juga gemarkan pokok hiasan, ia lebih mudah untuk dipadankan dengan konsep kediaman ini yang bagi saya nampak unik dan menarik apabila berada bersama," katanya. Katanya, dia dan isteri tidak gemar hiasan dalaman yang sarat kerana mementingkan keselesaan untuk anak-anak mereka bergerak dan bermain di dalam rumah.

"Apatah lagi ketika ini, anak saya masih kecil iaitu berusia empat dan enam tahun. Jadi saya tidak mahu mengehadkan pergerakan mereka apatah lagi dalam rumah ada perabot dan aksesori yang padat.

TEMPAT duduk empuk yang kelihatan lebih santai di ruang tamu.
TEMPAT duduk empuk yang kelihatan lebih santai di ruang tamu.

"Namun di dalam rumah saya tidak ada perabot atau aksesori jenis kaca bagi mengelak anak tercedera ketika mereka bermain di dalam rumah," katanya. Jelasnya, meskipun mementingkan keselamatan anak-anak, ia bukan menjadi penghalang kepadanya dan isteri untuk mendekorasi kediaman kerana perkara paling utama ialah perlu bijak menyuai padankan perabot dan rona di dalam kediaman itu sendiri.

"Di ruang tamu, warna yang dominan adalah putih dan hanya ada satu dinding dengan cat bercorak simen bagi menjadikannya titik fokal di ruang berkenaan.

"Selain itu, di dalam bilik pula saya gunakan warna semula jadi seperti hijau muda yang mudah dipadankan dengan perabot berwarna coklat," katanya. Katanya, dari segi membuat perabot atau aksesori DIY, dia ada beberapa barangan berkenaan antaranya meja sisi dan hiasan dinding iaitu moss frame.

MEJA sisi yang dihasilkan Felmi secara DIY.
MEJA sisi yang dihasilkan Felmi secara DIY.

"Sebenarnya mudah untuk membuat perabot atau aksesori DIY ini dan ia boleh membantu untuk menjimatkan perbelanjaan daripada membeli di kedai kerana kos membuatnya lebih murah.

"Ketika ini banyak sumber rujukan boleh didapati seperti di paltform media sosial. Tambahan pula kita boleh mendapatkan perabot atau aksesori yang menepati selera peribadi yang berkesinambungan dengan konsep kediaman," katanya.

Meskipun kelihatan kediaman itu lebih maskulin kerana pemilhan susun atur dan perabot yang dimilikinya, dia mengakui sebenarnya idea konsep itu persetujuan bersama dengan isterinya.

"Isteri saya terbabit sama dalam dekorasi kediaman dan dia menginginkan sesuatu yang ringkas, tetapi ada aura keselesaan apabila kami sekeluarga berada di dalam rumah.

"Jadi, bagi saya untuk mendekorasi kediaman ini apabila sudah mempunyai pasangan hidup kita perlu mempunyai keadilan cita rasa dan memahami keperluan keselesaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:00 AM