RUANG tamu yang mempunyai dua bahagian untuk keluarga bersantai.
RUANG tamu yang mempunyai dua bahagian untuk keluarga bersantai.
Hafiz Ithnin


"Saya gemar dekorasi yang lebih mempunyai fungsi dan menjamin keselesaan serta keselamatan," kata pemilik kediaman Semi D di Setiawan, Perak itu kepada penulis.

Tatkala ada pemilik kediaman yang gemarkan pengasingan antara ruang makan dan dapur, namun Hafiza Noornadia Asnoradi, 35, dan pasangannya, Muhamad Tuah Sarhan, 36, menyatukan tempat makan lebih praktikal.

Selain itu, bagi Hafiza, apabila ruang makan dan dapur berada di dalam satu ruang yang sama mudah untuk menghidangkan makan dan kerja-kerja membersihkannya selepas menjamu selera.

"Ketika saya dan suami ingin mendekorasi kediaman ini, kami amat menitik beratkan elemen berkenaan kerana tidak mahu ambil masa yang lama untuk mengemas.Kedua, kami ada anak masih kecil dan lasak. Jadi, keutamaan keselesaan perlu diberi kepada anak-anak yang sedang lasak bermain di dalam rumah," katanya.

Bercerita mengenai ruang utama, katanya, dia dan suami mempunyai dua bahagian tempat bersantai iaitu satu di hadapan televisyen yang mempunyai sofa dan satu lagi di hujung ruang tamu yang turut mempunyai sofa berbentuk L.

Katanya, mempunyai dua ruang itu membolehkan dia dan suami lebih selesa untuk menonton televisyen atau bersantai di hadapan televisyen dan anak-anak boleh berada di hujung ruang tamu yang turut mempunyai sofa untuk mereka bermain.

DAPUR berona putih lebih sesuai untuk Hafiza peka dengan kerja pembersihan.
DAPUR berona putih lebih sesuai untuk Hafiza peka dengan kerja pembersihan.

RONA ruang tamu mengabungkan warna hitam, putih dan kelabu.
RONA ruang tamu mengabungkan warna hitam, putih dan kelabu.

RONA serba putih di dalam bilik tidur yang menonjolkan elemen kekemasan.
RONA serba putih di dalam bilik tidur yang menonjolkan elemen kekemasan.

"Di ruang tamu saya ada cermin bulat di dinding yang bukan sahaja secara visual sebagai pemisah antara dua ruang itu tetapi menjadi satu titik fokal.

"Selain itu, keberadaan cermin itu menjadikan ia satu aksesori dinding yang ringkas tetapi mempunyai fungsi hiasan dalaman yang menarik untuk berada di ruang utama keluarga," katanya.

Dari segi pemilihan warna, katanya, rona adalah penyatuan cita rasa antara dia dan suami kerana dia gemarkan warna putih dan suami pula lebih memilih rona hitam.

"Jadi di dalam rumah kami mempunyai tiga warna iaitu hitam, putih dan kelabu. Warna hitam dijadikan sebagai rona aksesori dan putih menjadi rona yang dominan di dalam ruang.

"Meskipun mempunyai dua warna yang berbeza bagi saya, ia tidak membataskan untuk mempunyai satu dekorasi yang menarik selagi kita bijak untuk menyuai padankannya.

"Selain itu, pemilihan perabot dan aksesori seakan-akan warna dua warna dominan itu membantu menonjolka aura selesa apabila berada di dalam rumah," katanya.

Katanya, di bahagian dapur juga lebih banyak menggunakan warna putih meskipun ada persepsi yang melihat rona itu tidak sesuai kerana lebih cepat kotor sebaliknya tidak bagi Hafiza.

"Sebelum ini, di dapur saya berona kelabu dan saya mendapati apabila ada kekotoran kita tidak mudah nampak untuk dibersihkan dan ia akan menjadi kotoran kekal.

"Jadi, apabila warna putih digunakan, ia lebih nampak dan kita akan lebih peka untuk membersihkannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:43 AM