Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dipaksa bermandi peluh sebelum berjaya keluar selaku pemenang dalam aksi pertama Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi, Thailand hari ini.
Pasukan negara kendalian E Elavarasan yang turun berdepan Bangladesh melakar kemenangan 2-0 sekali gus membolehkan Malaysia memungut tiga mata maksimum dalam aksi itu.
Terima kasih kepada penyerang Selangor FC, Aliff Izwan dan ayam tambatan Johor Darul Ta'zim II, Fergus Tierney yang meledak dua gol bagi menghadiahkan permulaan yang baik buat skuad negara yang akan menentang Filipina dan Thailand selepas ini.
Selepas gagal dalam dua saingan di Sukan Sea Kemboja dan Piala AFF B-23 sebelum ini, keinginan tinggi diperagakan skuad kendalian E Elavarasan yang mahu mencatat keputusan lebih positif di pusingan kelayakan ini dengan cuba memburu sebanyak mungkin jaringan.
Namun hasrat itu digagalkan dengan keampuhan pertahanan Bangladesh yang menyerap baik asakan bertali arus skuad Harimau Muda negara itu.
Pasukan negara seharusnya sudah di depan pada minit 42 namun jaringan Alif Ikmalrizal dikesan ofsaid oleh pengadil sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, pemain negara meningkatkan intensiti permainan dan Aliff hampir mencetak nama namun percubaannya di tepis Mehdi Hasan Srabon di awal permainan.
Gol yang ditunggu-tunggu hanya menjelma di minit 82 apabila Aliff melepaskan satu rembatan 'bak peluru' di luar kotak penalti yang sama sekali gagal dihalang Mehdi buat menceriakan kem negara.
Tierney mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua di masa kecederaan bagi mencerahkan peluang buat pasukan cuba menamatkan saingan di dua tempat teratas Kumpulan H ini.
Juara daripada 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak automatik ke Piala Asia B-23 di Qatar pada April tahun depan.