AHMAD Syakir (tengah) menyiapkan koleksi kapsul dalam tempoh lima bulan.
AHMAD Syakir (tengah) menyiapkan koleksi kapsul dalam tempoh lima bulan.
Hafiz Ithnin


Bagi pereka fesyen muda berusia 24 tahun ini, dia begitu mengagumi seni bina butik firma fesyen mewah antarabangsa, sebuah bangunan arkitek berkonsepkan moden iaitu Louis Vuitton Foundation.

Bangunan itu adalah bagi mempromosikan seni dan budaya serta menempatkan koleksi tetap karya seni daripada koleksi peribadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif LVMH MoÎt Hennessy Louis Vuitton (LVMH), Bernard Arnault.

Pereka fesyen, Ahmad Syakir Fehmi Hazrin berkata, bangunan ini dilukis dan dibina Franck Gehry iaitu seorang arkitek Kanada-Amerika yang terkenal dengan karyanya yang dianggap fenomena dan berasa seperti di luar pemahaman manusia.

Katanya, menyedari keunikan bangunan itu, dia menjadikannya inspirasi menghasilkan koleksi kapsul yang ingin dihasilkan. Namun ia bukan kerja mudah.

"Bangunan ini terletak di Jardin d'Acclimatation di Bois de Boulogne di Paris, Perancis iaitu bangunan kaca setinggi 48 meter berbentuk seperti bot layar dengan layar ditiup angin. Ia juga dilihat seperti bongkah ais di kutub utara.

"Saya jadikannya inspirasi menghasilkan koleksi kapsul yang unik dengan menampilkan gaya jalanan moden kepada si pemakai," katanya.

BUSANA yang dikhaskan kepada mereka yang gemarkan gaya jalanan.
BUSANA yang dikhaskan kepada mereka yang gemarkan gaya jalanan.

Katanya, dia mengambil masa lima bulan untuk menghasilkan koleksi kapsul berkenaan yang mempunyai empat busana dan sudah melukis lebih 200 rekaan bagi mendapatkan empat rekaan akhir.

"Selepas rekaan akhir dipilih, saya melakukan proses seperti lukisan teknikal iaitu bahagian ypenting untuk menghasilkan pola pakaian sebelum memotong kain dan menjahit.

"Selepas siap sampel pakaian, proses meneliti sekali lagi dilakukan dan melakukan pemilihan warna pula perlu dilaksanakan bersandarkan inspirasi bangunan berkenaan," katanya.

Jelasnya, dia memilih rona kelabu, kelabu gelap, putih dan sedikit kuning untuk memberi kesan sedikit menonjol di dalam koleksi kapsul berkenaan. Secara ringkas rona memberi kesan penting di dalam rekaan ini berbanding penekanan kepada tekstur busana.

DISASARKAN juga kepada pemakai di negara beriklim sejuk.
DISASARKAN juga kepada pemakai di negara beriklim sejuk.

"Dari segi pemilihan tekstil pula saya menggunakan kain 'gore tex' dan kain 'parka' kerana ia lebih sesuai berbanding kain lain memandangkan konsep pakaian saya ke arah gaya jalanan dan sukan.

"Kain ini amat sesuai untuk dijadikan seluar dan jaket pelbagai fungsi. Sasaran saya untuk koleksi ini tertumpu kepada si pemakai dalam lingkungan umur 20 hingga 35 yang meminati konsep baju 'oversize' dan berjaket," katanya.

Tambahnya, si pemakai yang tinggal di tempat sejuk juga sasaran pasaran untuk koleksi berkenaan.

"Sebenarnya ada cabaran lain yang perlu dihadapi bagi menyiapkan koleksi kapsul ini antaranya fabrik digunakan tiada di Malaysia, saya terpaksa membeli dari negara jiran iaitu Indonesia dan perlu menunggu dua minggu proses penghantaran ke negara ini.

"Selain itu, kuantiti fabrik perlu dibeli juga banyak supaya proses pembuatan baju berjalan lancar. Tidak sekadar itu, pembuatan paten juga adalah cabaran apabila ia sedikit rumit untuk dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:12 AM