AKSI antara Malaysia dan Thailand di Stadium Rayong sebentar tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AKSI antara Malaysia dan Thailand di Stadium Rayong sebentar tadi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hasrat skuad Bawah 23 tahun (B-23) untuk mengakhiri saingan Piala AFF B-23 di tempat ketiga lebur apabila tewas kepada Thailand 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Rayong, Thailand sebentar tadi.

Keputusan terbabit sekali gus mengekalkan rekod 2005 apabila skuad muda negara turut mengakhiri saingan Piala AFF B-23 di bumi Gajah Perang di kedudukan keempat selepas tewas 2-4 kepada Myanmar menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, pujian harus diberikan kepada anak buah E Elavarasan apabila menampilkan permainan lebih mantap berbanding ketika menentang Vietnam tempoh hari dengan sering melancarkan serangan berbahaya dan mengawal perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan lebih seimbang apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan berbahaya bagi mencari gol pembukaan.

Malaysia berpeluang untuk berada di hadapan seawal minit ke 15 namun sepakan Alif Ikmalrizal Anuar sedikit tersasar sekali gus melegakan kem Thailand.

Memasuki babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menampilkan permainan lebih agresif dengan melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Thailand yang mendapat suntikan daripada ribuan penyokong mereka turut berpeluang memecah kebuntuan gol menerusi Nethithorn Kaewcharoen pada minit 48 namun sepakannya sedikit tersasar daripada gawang Malaysia.

Penjaga gol Malaysia Azim Al Amin boleh dikatakan wira buat pasukan Malaysia apabila menyelamatkan sekurang-kurangnya lima percubaan berbahaya daripada rangkaian serangan Thailand terdiri daripada Natcha Promsomboon, Varintorn Watcharapringam dan Nethithorn sekali gus memastikan gawang Malaysia daripada dibolosi.

Keputusan seri 0-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus mengheret ke penentuan sepakan penalti.

Namun, dua pemain negara Syahir Bashah dan Muhammad Abu Khalil Abu Khalil gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus memberi kelebihan kepada tuan rumah memenangi perlawanan terbabit dengan kelebihan 3-4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 7:21 PM