KEKALAHAN di tangan Vietnam sudah dilupakan pemain negara. FOTO FAM
KEKALAHAN di tangan Vietnam sudah dilupakan pemain negara. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Ini sebab semua pemain nak berbakti untuk negara, dan kami tak datang dari jauh-jauh dengan sia-sia sahaja". Itu kata tonggak pertahanan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Ubaidullah Shamsul Fazili menjelang aksi penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Thailand dalam Kejuaraan AFF B-23 di Stadium Rayong, di Thailand, petang esok.

Jelas pemain Terengganu FC II itu, kekalahan kepada Vietnam di separuh akhir semalam sudah dilupakan dengan semua pemain mahu memburu kemenangan ke atas Thailand.

Katanya, dia enggan pulang dengan tangan kosong dan akan memberi yang sebaiknya nanti.

"Untuk perlawanan semalam, sudah tentu ada rasa kecewa kerana tak layak ke pusingan akhir, tetapi moral pasukan dalam keadaan terbaik dan percaya rakan sepasukan semua bersemangat untuk untuk perlawanan seterusnya.

"Ini kerana perlawanan esok juga sangat penting untuk kami balik dengan tempat ketiga sekurang-kurangnya, dan setidaknya kami mampu merekodkan pencapaian untuk saingan tersebut," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Muda negara tewas 1-4 kepada Vietnam dan gagal mara ke final. Thailand pula tumbang 1-3 di tangan Indonesia dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:13 PM