SKUAD B-23 negara gigih berlatih menjelang aksi menentang Timor Leste. FOTO FAM
SKUAD B-23 negara gigih berlatih menjelang aksi menentang Timor Leste. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara tidak akan memandang mudah cabaran pasukan Timor Leste dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan AFF B-23 yang dijadual berlangsung di Stadium Rayong, malam esok.

Ketua pasukan negara, Aiman Afif berkata, buruan tiga mata penuh adalah misi utama skuad kendalian E Elavarasan bagi menempah tiket ke separuh akhir.

Begitupun pemain tengah yang memiliki wajah seiras pelakon drama 'Budak Tebing' Aedy Ashraf tetap menganggap Timor Leste pasukan yang kuat.

"Persiapan macam selalu, kita tak boleh pandang rendah Timor Leste. Jadi kita akan buat terbaik untuk perlawanan esok dan Insya-Allah kita akan dapatkan tiga mata," kata pemain Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Malaysia itu.

Apa yang diluahkan Aiman Afif ada benarnya apabila Timor Leste dilihat cukup ampuh ketika berdepan Indonesia, dan pasukan itu hanya tewas 1-0 kepada skuad Garuda Muda itu.

Terdahulu, skuad Harimau Muda negara berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengejutkan Indonesia dengan kemenangan 2-1.

Sementara itu, tonggak pertahanan kental negara Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili akui kejayaan menewaskan Indonesia yang juga pemenang pingat emas Sukan Sea di Kemboja Mei lalu itu, meningkatkan motivasi rakan sepasukan untuk berdepan Timor Leste nanti.

Malah, tahap persefahaman juga semakin baik meskipun skuad ini hanya dikumpulkan dalam tempoh yang agak singkat.

"Bagi saya kemenangan menentang Indonesia beri motivasi kepada kita untuk menentang Timor Leste dan saya harap kawan-kawan dapat bagi yang terbaik untuk perlawanan nanti.

"Bagi saya persefahaman dengan rakan-rakan semakin meningkat, walaupun masa singkat tapi itu satu cabaran buat kami semua dan saya harap kami dapat beri yang terbaik nanti," kata Ubaidullah yang juga ketua pasukan negara bersama Aiman Afif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 8:12 PM