FAISAL (kanan) berada dalam skuad Selangor FC untuk menentang Kelantan FC di Kota Bharu, Jumaat ini. FOTO FB SELANGOR FC
FAISAL (kanan) berada dalam skuad Selangor FC untuk menentang Kelantan FC di Kota Bharu, Jumaat ini. FOTO FB SELANGOR FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kerinduan penyokong Selangor FC untuk melihat kelincahan Faisal Halim di atas padang bakal berakhir apabila pemain sayap itu dijangka turun menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Mohammad IV, Jumaat ini.

Malah, gaya meraikan gol 'siuuu' yang sinonim dengan Faisal dijangka kembali mendapat sorakan penyokong skuad Red Giants, nanti.

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui, kelibat pemain utama skuad Harimau Malaya itu sememangnya berada dalam perancangan pasukan ke Kota Bharu.

"Memang dia (Faisal) akan bebas daripada penggantungan pada 24 Ogos, jadi perlawanan dengan Kelantan kalau ikutkan dia sudah boleh bermain.

"Sama ada dia diturunkan dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian, dia memang ada dalam perancangan untuk perlawanan dengan Kelantan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu digantung selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kenyataan media dibuat Faisal selepas perlawanan menentang Sabah pada 27 April lalu.

Ditanya mengenai tahap kecergasan Faisal, Cheng Hoe akui pemain itu berada pada situasi terbaik untuk bermain.

"Macam saya katakan dulu, kami sentiasa menyokong dia walaupun dalam apa juga situasi yang melanda Faisal.

"Dia nampak pada keadaan yang sentiasa bersedia dan 'attitude' dia memang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 5:06 PM