ISTERI Faisal berkongsi gelagat anaknya yang berdoa untuk bapanya di Instagram Story. FOTO Instagram
ISTERI Faisal berkongsi gelagat anaknya yang berdoa untuk bapanya di Instagram Story. FOTO Instagram
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Disebalik meraikan gaya 'Siuuu' oleh Faisal Halim yang berjaya menamatkan kemarau golnya musim ini, sebenarnya ada sesuatu yang membantu dirinya dari belakang.

Faisal, 25, yang masih memburu gol sulungnya musim ini akhirnya menamatkan badi itu apabila meledak satu gol ketika membantu skuad Harimau Malaya menewaskan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Dia yang agak buntu sebelum perlawanan itu dengan pernah menyatakan permohonan maaf terutamanya kepada penyokong negara kerana masih gagal menemui sentuhan jaringan, akhirnya tersenyum gembira selepas berjaya mencetak gol.

Kejayaannya itu pastinya adalah hasil usaha dan komitmen tinggi Faisal dalam perlawanan itu malam tadi, sebelum dia berjaya merobek gawang Hong Kong.

Selain usaha pemain Selangor FC itu, ada sesuatu yang mencuri tumpuan di mana kejayaan menamatkan badi itu turut didorong kiriman doa daripada anaknya sendiri.

Menerusi satu perkongsian video isteri Faisal di laman sosial, anak pasangan itu dilihat mendoakan agar ayahnya itu mampu menemui jaring sebelum perlawanan itu.

Mungkin berkat doa daripada anaknya itu, Faisal akhirnya dapat menjaringkan gol sekali gus meraikan gaya 'Siuuu' yang menjadi identiti pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang itu.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat skuad kendalian Kim Pan-gon selepas turut menang ke atas Turkmenistan 1-0 Khamis lalu.

Dalam aksi itu, Akhyar Rashid membuka tirai gol pertama negara pada minit ke-18 sebelum Faisal menambah gol kedua di minit 41.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 1:45 PM