FAISAL perlu menjalani hukuman penggantungan selama sebulan. FOTO AIZUDDIN SAAD
FAISAL perlu menjalani hukuman penggantungan selama sebulan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC enggan terus meratapi ketiadaan tonggak utamanya, Faisal Halim yang digantung selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus terlepas aksi penting berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Jelas pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe, kehilangan Faisal sememangnya satu kehilangan besar buat pasukan namun beliau tidak mahu perkara terbabit menjejaskan momentum pasukan.

Katanya, beliau dan barisan kejurulatihan sentiasa berada di belakang pemain sayap itu dan berharap isu Faisal dapat diselesaikan dengan baik.

"Memang kita juga tidak dapat menurunkan Faisal Halim disebabkan pengantungan dia.

"Kita barisan jurulatih dan pasukan beri sokongan penuh kepada Faisal Halim kerana dia merupakan tonggak utama pasukan. Sudah tentu yang lain, kita letak kepada pengurusan untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Terdahulu, Selangor FC menerima tamparan hebat apabila Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan tindakan pengantungan kepada Faisal susulan kenyataan media yang dibuat selepas perlawanan Liga Super 2023 menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 27 April lalu.

Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (kenyataan akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (sumbangan kepada media).

FAM memaklumkan Faisal digantung selama empat bulan serta merta, namun pengantungannya akan dijalankan sebulan terlebih dulu di mana baki tiga bulan lagi ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain terbabit.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe akui bukan mudah untuk beraksi di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan itu.

"Memang bukan mudah untuk melawan JDT terutama bermain di SSI (Stadium Sultan Ibrahim) kerana kita tahu mana-mana pasukan yang bertandang di SSI akan guna pendekatan berbeza.

"Kadang-kadang bermain bertahan atau menyerang pun, kedua-duanya (corak) di menangi JDT, itu sebab kami barisan jurulatih masih lagi mencari taktikal atau formasi terbaik untuk menentang JDT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 4:29 PM