SATHIANATHAN meninggal dunia pada 18 Julai 2023. FOTO ARKIB NSTP
SATHIANATHAN meninggal dunia pada 18 Julai 2023. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) tidak akan berdiam diri isu tunggakan gaji jurulatih Liga Super.

Pemangku Presiden PJBM, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi menyelesaikan isu terbabit dengan kadar segera.

Beliau berkata, isu tunggakan gaji yang belum selesai membabitkan bekas jurulatih Sarawak United, mendiang B Sathiananthan boleh dikatakan antara contoh 'penyakit' terbabit semakin parah dalam kancah arena bola sepak negara.

Malah, beliau memberi peringatan supaya tiada ada lagi yang sudah meninggal dunia, namun belum merasa tunggakan gaji walaupun sudah memperjuangkan hak mereka kepada bekas majikan.

"Jangan tunggu sehingga seseorang mati dan tidak mendapat wangnya sehingga hari ini... ini tidak masuk akal dan kita perlu menghentikannya daripada berlaku.

"Kami akan mengambil langkah susulan bagi menangani masalah ini. Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berjuang untuk pemain, namun timbul persoalan pula siapa membela hak jurulatih.

"Oleh sebab itu, PJBM mahu ahlinya sedia maklum bahawa kami mempunyai mekanisma dan prosedur untuk menuntut hutang mereka kepada majikan masing-masing," katanya.

Mengikut rekod, sehingga kini Sarawak United masih tidak menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan bekas jurulatihnya.

Walaupun, mendiang Sathia sudah beberapa kali menuntut tunggakan gaji kepada bekas majikannya itu, sehingga hari ini ia belum diselesaikan oleh pengurusan Sarawak United.

Difahamkan, jumlah keseluruhan hutang Sarawak United terhadap mendiang Sathia adalah berjumlah RM345,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 1:01 PM