SARAWAK United kini beraks idi Liga M3. FOTO FB Sarawak United
SARAWAK United kini beraks idi Liga M3. FOTO FB Sarawak United
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) melahirkan kekecewaan apabila Sarawak United masih culas dalam menyelesaikan pembayaran gaji jurulatih pasukan itu.

Presiden PJBM, B Sathianathan berkata, beliau dimaklumkan ketua jurulatih pasukan yang bertanding di Liga M3 iaitu S Balachandran sudah meletakkan jawatan sebelum bulan Ramadan lalu selepas tidak menerima bayaran gaji selama lapan bulan dari Ogos 2022 hingga Mac 2023.

Kelab terbabit juga tidak membayar potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dari tahun 2022 hingga 2023.

Malah, beberapa jurulatih pasukan itu turut mengikut jejak Balachandran sebagai tanda protes terhadap pihak pengurusan kelab itu.

"Saya kecewa apabila mendapat aduan Sarawak United tidak membayar gaji jurulatih.

"Saya ada salinan letak jawatan Balachandran dan beberapa jurulatih lain juga. Sepatunya perkara begini tidak boleh berlaku, kerana bola sepak kita sudah memasuki era penswastaan sepenuhnya," katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau turut memohon campur tangan pihak berkepentingan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) menangani isu Sarawak United ini dengan serius, dan mengambil tindakan ke atas pemilik kelab, Datuk Posa Majais.

Katanya, jika perkara ini dibiarkan tanpa ada jalan penyelesaian, beliau bimbang perancangan FAM dan MFL untuk menjadikan kelab-kelab di Liga M3 yang bertaraf amatur kepada sebuah pasukan profesional akan sia-sia.

"Sebelum ini ada perancangan nak jadikan kelab Liga M3 ini profesional. Tapi kalau kes macam ini dibiarkan, saya rasa susahlah.

"Kita tak boleh cakap saja tapi tidak tegas dalam penguatkuasaan. Sarawak United ini perlu diambil perhatian dan tindakan ke atas Datuk Posa supaya menjadi contoh yang baik kepada pasukan lain," katanya.

Sebelum ini, Sarawak United juga terpalit dengan tunggakan gaji pemain yang difahamkan sehingga kini masih belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:58 PM