Sathianathan rujuk empat kes diadukan kepada FAM. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Sathianathan rujuk empat kes diadukan kepada FAM. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Rodly Fadly


KUALA LUMPUR: Masalah tunggakan gaji yang sering dihadapi pemain kini mula berjangkit kepada jurulatih membabitkan jumlah keseluruhan mencecah RM400,000.

Isu ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan yang menyifatkan ia membimbangkan.

Menurut Sathia, setakat ini empat kes diadukan kepada PJBM yang sudah dirujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

“Selama ini masalah tunggakan gaji membabitkan pemain lebih mendapat perhatian sedangkan hakikatnya jurulatih juga tidak terlepas daripada situasi sama, cuma tidaklah seramai pemain.

“Nampak jumlah yang terbabit kecil sahaja seolah-olah kes terpencil tapi isu ini tidak boleh dipandang remeh  dan jika tidak dibendung, boleh menjejaskan masa depan jurulatih kita.

“Malah, kesan ditanggung jurulatih lebih besar berbanding pemain kerana tidak seperti pemain yang mudah mencari rezeki dengan pasukan lain jika berdepan masalah sebegini, jurulatih pula mempunyai peluang yang sangat terhad untuk berbuat begitu,” kata Sathia.

Beliau turut kecewa dengan sikap persatuan atau kelab yang mengambil sikap acuh tak acuh dalam menangani isu berkenaan walaupun arahan sudah dikeluarkan oleh FAM.

Antara jurulatih berdepan dengan kemelut itu adalah Manja Man yang masih belum menerima bayaran tunggakan gaji walaupun FAM sudah mengarahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berbuat demikian dalam tempoh 30 hari bermula 3 September lalu. 

“Ada persatuan yang sudah diarahkan FAM supaya membayar tunggakan gaji mengambil sikap lepas tangan dengan alasan tidak ada wang. Perkara sebegini tidak boleh dibiarkan kerana mereka perlu bertanggungjawab walau apapun situasi mereka hadapi. 

“Saya harap FAM akan bertindak tegas untuk membendung masalah ini daripada terus menular. Mungkin salah satu cara untuk melangsaikan hutang mereka kepada jurulatih atau pemain adalah dengan memotong geran tahunan mereka,” kata jurulatih FELDA United itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:03 PM