ELAVARASAN ketika menjadi jurulatih Sarawak United.
ELAVARASAN ketika menjadi jurulatih Sarawak United.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika ada anugerah pasukan paling banyak hutang terhadap individu lain pada musim lalu sudah pastinya Sarawak United bakal menjadi juara.

Hal ini kerana, Sarawak United yang kini beraksi di Liga M3 bukan hanya berhutang dengan bekas pengendali mereka, B Sathiananthan namun turut gagal melunaskan gaji membabitkan jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara iaitu E Elavarasan.

Hutang membabitkan Elavarasan dipercayai ketika jurulatih berusia 62 tahun itu mengendali Sarawak United dua tahun lalu. Situasi terbabit didedahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman yang menyatakan menerusi keputusan Jawatankuasa Status badan induk bola sepak itu yang mengarahkan Sarawak United supaya membayar pampasan seperti sudah dinyatakan dalam tempoh masa ditetapkan.

Tanpa mahu mendedahkan jumlah perlu dibayar Sarawak United kepada kedua-dua jurulatih, Noor Azman berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Sarawak United untuk tindakan lanjut sekali gus mengharapkan isu tunggakan gaji dapat diselesaikan segera.

"Jawatankuasa Status FAM bukan hanya menetapkan keputusan supaya Sarawak United perlu membayar kepada Sathia saja namun turut membabitkan Elavarasan ketika beliau mengendalikan pasukan itu.

"Keputusan terbabit diputuskan baru-baru ini turut membabitkan tuntutan lain namun perkara utama adalah membabitkan tunggakan gaji yang perlu dibayar Sarawak United kepada kedua-dua jurulatih itu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Jawatankuasa Status FAM mengarahkan Sarawak United membayar tunggakan gaji lima bulan kepada Sathiananthan.

Sathianathan berkata, situasi terbabit sekali gus adalah permulaan kepada sebuah perjuangan untuk menuntut keadilan terhadap kelab yang gagal melunaskan tanggungjawab mereka.

Selain itu, mengikut rekod, Elavarasan pula mengendalikan Sarawak United selama dua tahun bermula 2020. Beliau kemudiannya melepaskan jawatan terbabit tahun lalu selepas dilantik secara rasmi sebagai pembantu kepada jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 4:17 PM