AKSI  Ocampos menjaringkan gol kemenangan Sevilla di MSV Arena,  Duisburg.  FOTO AFP
AKSI Ocampos menjaringkan gol kemenangan Sevilla di MSV Arena, Duisburg. FOTO AFP
AFP

SEVILLA mara ke separuh akhir Liga Europa selepas tandukan lewat Lucas Ocampos mengecewakan Wolverhampton Wanderers manakala Shakhtar Donetsk membelasah Basel 4-1 untuk menyertai kelab Sepanyol itu ke peringkat empat terakhir.

Juara lima kali kejohanan, Sevilla yang bakal berdepan Manchester United di Cologne pada Isnin depan berterima kasih kepada tandukan bijak pemain Argentina, Ocampos ketika permainan berbaki dua minit untuk kemenangan tipis 1-0 manakala Shakhtar akan menentang Inter Milan keesokan harinya dalam satu lagi aksi dijangka sengit.

Sevilla lebih banyak mendominasi perlawanan bagi menghampakan impian Wolves yang tampak keletihan.

"Saya bangga dengan pemain saya. Kami perlu lebih bersabar menentang pasukan yang sangat bagus,'' kata jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui yang skuadnya kini tidak tewas 19 perlawanan dalam semua kejohanan kepada BT Sport.

"Kami mempunyai cita-cita, kami bekerja lebih keras tetapi kami akan menentang Manchester United... pasukan terbesar dalam dunia bola sepak.''

Wolves sepatutnya boleh mendahului pada minit ke-11 selepas Adam Traore dikasari dalam kotak penalti oleh Diego Carlos tetapi sepakan lemah Raul Jimenez berjaya diselamatkan penjaga gol Sevilla, Yassine Bounou.

Bagaimanapun, Sevilla kembali meningkatkan asakan dan memaksa pemain Wolves lebih banyak bertahan di kubu sendiri tetapi peluang terhidang gagal dimanfaatkan penyerang mereka.

Pada minit ke-77, sepakan percuma menarik Ever Banega ditepis keluar penjaga gol, Rui Patrico tetapi dia gagal menyelamatkan jaringan kemenangan Sevilla ketika permainan berbaki dua minit.

Hantaran Banega tepat kepada Lucas Ocampos yang menanduk cantik untuk membawa pasukannya ke separuh akhir.

Di Gelsenkirchen, Shakhtar mempamerkan penguasaan sepenuhnya ke atas Basel yang pasti merisaukan Inter Milan menjelang aksi separuh akhir pada Selasa ini.

"Saya rasa teruja kerana kami telah bekerja keras dan kami percaya mampu ke final,''kata penjaring gol, Junior Moraes.

"Jika anda mahu menguji diri anda, anda perlu menentang pasukan yang kuat pada tahap ini.''

PEMAIN Shakhtar meraikan kemenangan di Arena Aufschalke. FOTO AFP
PEMAIN Shakhtar meraikan kemenangan di Arena Aufschalke. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 7:19 AM