SAFEE berkata pemain perlu akur dengan hukuman dikenakan sekiranya didapati melanggar peraturan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SAFEE berkata pemain perlu akur dengan hukuman dikenakan sekiranya didapati melanggar peraturan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hukuman penggantungan pemain sayap sensasi Selangor FC, Faisal Halim wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak terutama pemain profesional dalam membuat sebarang kenyataan.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali berkata, pemain profesional perlu menggunakan platform media secara bijak dan berhemah, sekali gus menuntut etika berdepan media diberi penekanan dalam proses pembangunan pemain di negara ini.

"Sebenarnya bagus juga apa yang berlaku, ini membuka mata semua pihak dan pemain sendiri macam mana nak menghadapi media.

"Dalam bola sepak sebagai seorang pemain profesional bukan sekadar bermain tetapi untuk (juga) bercakap dengan media dan mengeluarkan kenyataan di media sosial mesti ada pendidikan. Perkara ini perlu ada dalam sistem pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Faisal yang lebih dikenali sebagai 'Mickey' dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Pemain penting skuad Harimau Malaya berusia 25 tahun itu didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataannya ketika sesi temu ramah media selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu 27 April lalu.

Mengikut keputusan, Faisal digantung empat bulan (25 Julai ini hingga 21 November), namun dia hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos) dengan penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguhkan, tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan bermula 24 Ogos.

Dalam pada itu, Safee yang juga bekas pemain kebangsaan berkata pemain perlu akur dengan hukuman dikenakan sekiranya didapati melanggar peraturan, selain percaya ia akan memberi pengajaran berguna kepada pemain terbabit.

"Saya pernah digantung tapi bukan sebab keluarkan kenyataan di media, kerana tingkah laku tidak baik ke atas pengadil dan saya digantung selama sebulan. Bagi saya kita perlu hormat undang-undang, apa yang berlaku beri pengajaran kepada saya dan saya percaya Faisal juga," katanya.

Sementara itu, legenda negara Datuk Jamal Nasir mengingatkan para pemain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan berharap penggantungan Faisal menjadi suatu peringatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 7:32 PM