BARISAN pemain Bayern mudah menewaskan Rottach-Egern. FOTO Bayern Munich
BARISAN pemain Bayern mudah menewaskan Rottach-Egern. FOTO Bayern Munich
Agensi

Tegernsee: Ia hanya satu perlawanan persahabatan pramusim tetapi Bayern Munich tidak peduli apabila mereka membelasah kelab amatur divisyen sembilan Jerman, Rottach-Egern 27-0 di kem latihan mereka di Tegernsee, Jerman awal pagi tadi.

Apabila perlawanan itu berakhir selepas 90 minit, juara Bundesliga itu menjaringkan purata tiga setengah minit satu gol ketika penyerang kelab kendalian Thomas Tuchel melaungkan amaran menjelang bermulanya musim baharu.

Tuchel mahu menguji bintang pasukan utamanya susulan percutian musim panas mereka dan bos Bayern itu menamakan kesebelasan terkuat dengan menurunkan antaranya Jamal Musiala, Serge Gnabry dan Joshua Kimmich.

Gol mula hadir sebaik wisel dibunyi apabila Musiala menjaringkan gol pertama daripada lima golnya pada minit ketiga.

Jaringan itu disusuli gol Serge Gnabry dan pertahanan Kanada, Alphonso Davies ketika Bayern mendapati mereka mendahului 3-0 selepas kurang daripada 10 minit.

Musiala dan Gnabry kemudian menambah gol lagi sebelum pemain AS, Konrad Laimer meledak gol pertamanya buat juara liga utama Jerman itu yang mendahului 18-0 pada babak pertama.

Perubahan besar pada babak kedua tidak menggugat serangan Bayern dan bekas pemain pinjaman Manchester United, Marcel Sabitzer membuktikan dia mungkin memainkan peranan utama di bawah kendalian Tuchel musim depan.

Karier pemain tengah itu di United berakhir lebih awal dengan kecederaan hujung musim lalu menyaksikannya terlepas aksi final Piala FA menentang Manchester City, namun dia membuktikan kembali pulih dengan lima gol.

Sabitzer menyumbat lima gol antara minit ke-50 hingga 73.

Sadio Mane yang dijangka meninggalkan kelab itu pada musim panas ini, melengkapkan jaringan dengan menyempurnakan gol ke-27 Bayern pada minit ke-90.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 3:27 PM