KANE ledak hatrik bantu Bayern belasah Mainz. -FOTO Reuters
KANE ledak hatrik bantu Bayern belasah Mainz. -FOTO Reuters
AFP

Munich, Jerman: Harry Kane meledak hatrik ketika Bayern Munich membelasah Mainz 8-1, menyamai rekod berusia 60 tahun dan kembali menghidupkan harapan pasukannya untuk mengejar pendahulu Bayer Leverkusen.

Kane turut melakukan dua bantuan jaringan dan kini sudahpun meledak 30 gol pada musim pertamanya di Munich, menyamai rekod penampilan sulung yang dilakukan oleh legenda Jerman, Uwe Seeler bersama Hamburg pada 1963-64.

Dengan baki sembilan perlawanan, kapten England itu juga semakin menghampiri rekod jaringan semusim iaitu 41 gol yang dibuat oleh Robert Lewandowski dari Bayern pada 2020-21.

Kemenangan itu adalah yang kedua terbesar Bayern musim ini selepas membelasah Darmstadt 8-0 pada Oktober.

Penyerang Bayern Munich itu memberi amaran bahawa mereka "boleh menjadi sangat berbahaya" selepas kejayaan menjaringkan hatrik keempatnya musim.

Selepas kemenangan 3-0 Selasa ke atas Lazio yang memastikan mereka mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, Bayern kini mencatat kemenangan berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh lebih sebulan.

"Jika kami bermain seperti yang kami lakukan dalam dua perlawanan lalu, kami boleh menjadi sangat berbahaya dengan kualiti yang kami ada dalam pasukan ini.

"Saya harap kami boleh menggunakannya sebagai percikan api dan itulah matlamatnya sekarang, untuk meneruskan baki perlawanan kami," kata Kane.

Bayern kini tujuh mata di belakang pasukan kendalian Xabi Alonso, Leverkusen, yang masih belum tidak tewas akan melayan kunjungan Wolfsburg hari ini.

Kane membuka jaringan dengan menolak masuk hantaran Jamal Musiala pada minit ke-13. Tujuh minit kemudian tandukannya diselamatkan, tetapi Leon Goretzka membuat tindakan susulan untuk gol kedua.

Nadiem Amiri meledak gol tunggal Mainz menerusi sepakan percuma tetapi Kane kembali melebarkan kedudukan di akhir babak pertama.

Thomas Mueller menjaringkan gol keempat di awal babak kedua, disusuli jaringan Musiala, Serge Gnabry, Kane dan Goretzka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 9:27 AM