MOUNT sah menyertai United. FOTO Manchester United
MOUNT sah menyertai United. FOTO Manchester United
Agensi

London: Rio Ferdinand menyatakan kegembiraannya selepas Manchester United melengkapkan pembelian Mason Mount dengan harga £60 juta (RM355.2 juta).

United membayar £55 juta (RM325.6 juta) serta kemungkinan tambahan £5 juta (RM29.6 juta) untuk Mount yang menandatangani kontrak dengan gaji £250,000 (RM1.4 juta) seminggu di Old Trafford sehingga 2028 dengan pilihan setahun lagi.

Tawaran skuad bimbingan Erik ten Hag untuk mendapatkan Mount ditolak beberapa kali oleh Chelsea namun ia akhirnya mencapai persetujuan buat kali kelima.

Difahamkan Ten Hag terbabit dalam proses itu dan memberi gambaran yang jelas kepada Mount bagaimana dia perlu menyesuaikan dirinya bersama pasukan pada musim depan.

Legenda United, Ferdinand nyata memuji kelab atas usaha mereka dalam menyelesaikan perjanjian untuk pemain antarabangsa England itu.

"Sungguh gembira dengan kedatangan Mount. Seorang pemain muda, berbakat dan dahagakan kejayaan. Dia mempunyai pengalaman beraksi pada perlawanan besar serta pasti akan berdepan tekanan apabila beraksi bersama United.

"Sebagai pemain dia pasti akan berusaha untuk menjaringkan gol, mencipta kreativiti, menunjukkan etika kerja yang baik dan sentiasa berusaha mengancam pihak lawan.

"Dia pasti menambah apa yang kami sudah ada di dalam pasukan. Saya rasa Chelsea akan menyesal kerana menjual Mount," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 8:30 AM