AKSI Onana ketika Inter Milan menentang Benfica. FOTO AFP
AKSI Onana ketika Inter Milan menentang Benfica. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United mencapai persetujuan dengan Inter Milan untuk menandatangani penjaga gol Inter Milan, Andre Onana.

Onana turut bersetuju denga terma peribadi dan dijangka mengikat kontrak lima tahun di Old Trafford dengan pilihan lanjutan setahun.

Inter percaya yuran membabitkan penjaga gol Cameroon itu sekitar £43 juta (RM256 juta) termasuk tambahan lain.

United dijangka mengumumkan perjanjian itu lewat hari ini dan berusaha melengkapkan proses visa Onana bagi membolehkannya bersama rakan sepasukan ketika sesi jelajah ke Amerika Syarikat pada Rabu.

Pemain berusia 27 tahun itu bakal tampil kali pertama ketika menentang Arsenal di New Jersey Sabtu ini dengan United juga berdepan Real Madrid dan Borussia Dortmund dalam kunjungan itu.

United mencari penjaga gol baharu nombor satu mereka sejak tidak melanjutkan kontrak David de Gea yang sudah 12 tahun beraksi di Old Trafford.

De Gea menjadi ejen bebas penghujung bulan lalu selepas pengurus Eric ten Hag mahukan penjaga gol yang lebih baik dengan bola ketika di kaki.

Aspek itu dikuasai Onana ketika bermain di bawah kendalian Ten Hag di Ajax sebelum menyertai Inter pada musim panas lalu.

Onana tampil 41 perlawanan dalam semua kejohanan di San Siro ketika skuad Simone Inzhagi menjuarai Piala Raja Itali dan Supercoppa Italiana selain mara ke final Liga Juara-Juara.

Perjanjian Onana bermakna bajet United pada musim panas ini melepasi £100 juta (RM596 juta) selepas Mason Mount berpindah dari Chelsea dengan harga £60 juta (RM357 juta).

Kelab kini meningkatkan usaha mendapatkan penyerang baharu dengan pemain Atalanta, Rasmus Hojlund menjadi sasaran utama.

Penjaga gol United Dean Henderson dijangka menyertai Nottingham Forest dengan perjanjian sehingga £20 juta (RM119 juta) sebaik ketibaan Onana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 11:56 AM