KANE tidak bersetuju untuk kekal bersama Spurs. FOTO AFP
KANE tidak bersetuju untuk kekal bersama Spurs. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United diberitahu mereka perlu membayar Harry Kane sebanyak £30 juta (RM176.58 juta) setahun, jika mahu menandatanganinya.

Gaji berjumlah £577,000 (RM3.39 juta) seminggu akan menjadikan kapten Tottenham dan England itu sebagai pemain dengan bayaran tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan memecahkan struktur gaji Red Devils.

Pemain United dengan bayaran tertinggi ketika ini adalah Marcus Rashford, yang menerima £325,000 (RM1.91 juta) seminggu selepas menandatangani kontrak baharu.

Jumaat lalu, Tottenham menawarkan kontrak baharu £400,000 (RM2.35 juta) seminggu, tetapi Kane, 30, enggan menandatanganinya.

Juara Jerman, Bayern Munich turut berminat mendapatkan Kane, tetapi menyaksikan dua bidaan mereka berjumlah £60 juta (RM353.16 juta) dan £70 juta (RM412 juta) ditolak.

United menjadikan Kane sebagai sasaran nombor satu pada musim panas ini memandangkan mereka amat memerlukan penyerang baharu.

Mereka mendapat berita gembira apabila pemilik Spurs, Joe Lewis enggan membenarkan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 280 gol itu menolak sambungan kontrak dan berlalu pergi secara percuma dalam tempoh setahun lagi.

Bagaimanapun, pengurus di Old Trafford, Erik ten Hag mahu mengelak situasi apabila seorang pemain mendapat bayaran terlalu banyak melebihi pemain lain.

Pada masa sama, United perlu menjual pemain untuk mendapatkan dana dan mematuhi Fair Play Kewangan (FFP) selepas membeli Mason Mount dan Andre Onana dengan nilai keseluruhan £98.8 juta (RM581.83 juta).

Bayern dijangka membuat tawaran kepada Kane sekali lagi, sambil itu terdapat laporan kelab Arab Saudi, Al-Hilal, turut sedia membuat tawaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 11:59 AM