VEGA Arango (kiri) bersama pemainnya, Joses Nawo pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Solomon Island di Ar-Riyadah Residence. FOTO Ghazali Kori
VEGA Arango (kiri) bersama pemainnya, Joses Nawo pada sidang media menjelang perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Solomon Island di Ar-Riyadah Residence. FOTO Ghazali Kori
Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Skuad Kepulauan Solomon tidak mahu mengambil mudah, sebaliknya akan turun dengan aksi terbaik dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Ketua Jurulatihnya, Felipe Vega Arango berkata, perlawanan malam esok penting buat pasukannya mengekalkan rekod empat kemenangan dalam lima aksi persahabatan yang ditempuh sebelum ini.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, bukan mudah untuk mana-mana pasukan untuk mengekalkan rentak kemenangan dan akan memberi tentangan sengit kepada Harimau Malaya.

"Saya sudah mengingatkan kepada semua pemain supaya memberikan persembahan terbaik kerana kita tahu Harimau Malaya bukan saja dibarisi pemain bagus, malah ia adalah pasukan profesional.

"Malah, saya juga menjangkakan aksi malam esok perlawanan yang getir dan sukar buat pasukan serta pemain saya.

"Sudah pasti, Harimau Malaya akan turun untuk meraih kemenangan dan akan memberi tentangan sengit kepada kami," katanya pada sidang media di Ar Riyadah Residence Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, hari ini.

Arango berkata, perlawanan malam esok juga akan menyaksikan mutu permainan pantas apatah lagi skuad bimbingan Kim Pan-Gon memiliki pemain sayap dan tengah yang bagus.

Pengendali berusia 46 tahun itu berkata, jika mahu dibandingkan skuadnya dengan Harimau Malaya yang mempunyai ramai pemain profesional berbanding pasukannya rata-rata pemain amatur.

"Daripada 23 senarai pemain, hanya tiga pemain berpangkalan di luar negara manakala seorang sahaja berstatus profesional iaitu, Raphael Lea'i yang beraksi dalam Liga Bosnia.

"Walaupun ranking kami lebih baik di tangga 134, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran dan kelebihan buat pasukannya dalam perlawanan malam esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 2:17 PM