12 pemain yang akan menyertai kem bola sepak anjuran THGFC di Ciudad Madrid, Sepanyol. -FOTO Izzali Ismail
12 pemain yang akan menyertai kem bola sepak anjuran THGFC di Ciudad Madrid, Sepanyol. -FOTO Izzali Ismail
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Seramai 12 pemain muda dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SMKTATAR) berpeluang menimba ilmu bola sepak di peringkat antarabangsa apabila bakal terbang ke Madrid, Sepanyol bagi menjalani latihan asas di akademi bola sepak terkemuka dunia Real Madrid.

Program yang akan mereka lalui ini dikelolakan oleh TH Global Football Camp (THGFC) melalui program Real Madrid Foundation Clinic selama tujuh hari bermula dari 18 Jun hingga 24 Jun di Ciudad, Madrid, Sepanyol.

Pemain-pemain berusia 14 tahun yang juga pemain Akademi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) F terpilih secara rasminya selepas mereka menjuarai kejohanan bola sepak remaja yang dianjurkan oleh THGFC Road to Real Madrid di Pulau Pinang pada awal tahun ini.

Menurut pengasas THGFC, Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar program dibangunkan ini adalah untuk memberi pengalaman berharga kepada barisan pemain muda menimba pengalaman daripada jurulatih di Real Madrid.

"Program ini juga mendedahkan kepada pemain berkaitan aspek program teknikal dan taktikal daripada jurulatih di sana dan boleh meluaskan pelajaran dan pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Saya berharap selepas menimba pengalaman ini, mereka akan memiliki pengetahuan yang lebih luas serta berpeluang melebarkan kerjaya dalam karier bola sepak di Malaysia atau di mana sahaja," katanya.

Penganjuran latihan pembangunan bakat muda juga adalah usaha kali kedua selepas kejayaan program latihan yang diadakan di akademi bola sepak di Jerman iaitu BVB Dortmund membabitkan sekumpulan pemain muda pada tahun 2019 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 12:51 PM