Mohammad Hafiy (tengah) bergambar bersama Ketua Pembangunan Belia KDA FC, Mohd Ridzuan Abdul Rahman dan Pengarah Teknikal KDA FC, Mosthakeen Omar selepas diumumkan terpilih menjalani program latihan bola sepak dan akademik di Sepanyol. FOTO KDA FC
Mohammad Hafiy (tengah) bergambar bersama Ketua Pembangunan Belia KDA FC, Mohd Ridzuan Abdul Rahman dan Pengarah Teknikal KDA FC, Mosthakeen Omar selepas diumumkan terpilih menjalani program latihan bola sepak dan akademik di Sepanyol. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Usaha memupuk bakat muda negara ke persada antarabangsa sedang digiatkan oleh akademi Hijau Kuning FC (HKFC) dengan membawa pemain muda, Mohammad Hafiy Hamdan untuk menjalani program mengembangkan bakat dan menyambung pelajaran di Sepanyol.

Pemain muda berusia 17 tahun dari Kedah itu akan menjalani latihan di akademi lebih berstruktur, seterusnya menimba pengalaman berguna untuk mengasah bakat pemain itu bermula dengan lawatan suai kenal selama seminggu dan kemudian menyambung semula latihan pada Mac tahun depan.

Menurut maklumat dari media Kedah Darul Aman FC, pihak pengurusan HK FC akan berlepas ke Sepanyol bersama pelatih berkenaan, Isnin ini bagi menguruskan program berkaitan latihan yang akan dijalani Mohammad Hafiy.

"Bermula Isnin ini, delegasi Hijau Kuning FC akan ke Madrid, Sepanyol bagi membiasakan keadaan di sana selama seminggu dan akan kembali menyambung fasa seterusnya selepas Mohammad Hafiy tamat SPM pada Mac tahun hadapan.

"HKFC juga akan berbincang dengan kelab Granada CF, untuk mendapat tempat latihan buat Mohammad Hafiy dalam usaha memperkembangkan bakatnya di Eropah.

"Selain program mengembangkan bakat di sana, Mohammad Hafiy akan turut ditawarkan pendidikan setaraf bagi melanjutkan pelajaran, pakej lengkap buat pemain muda ini bagi menjamin masa depan yang cerah dalam arena bola sepak," katanya.

Sementara itu Mohammad Hafiy yang terpilih melalui program latihan di Sepanyol ini melahirkan rasa syukur dan bersemangat bagi mengembangkan cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada HKFC kerana dapat menimba pengalaman berharga melalui program yang disusun oleh HKFC bersama akademi di Sepanyol ini termasuk peluang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi di luar negara.

"Saya memang bercita-cita menjadi seorang pemain bola sepak profesional dan peluang diperingkat terbaik ini akan saya gunakan untuk mencapai kejayaan saya di masa depan," katanya

Hijau Kuning FC (HK FC) adalah akademi bola sepak di Kedah yang mempelopori projek pembangunan program akar umbi dari pelbagai peringkat umur untuk anak-anak muda di negeri Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 11:10 AM