FEROZ (kanan) terpaksa diketepikan. FOTO FAM
FEROZ (kanan) terpaksa diketepikan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Masalah kecederaan yang melanda dua pemain skuad Harimau Malaya menyaksikan pengendali pasukan, Kim Pan-gon terpaksa melepaskan kelibat, Natxo Insa dan Feroz Baharudin daripada kem latihan pasukan di Kuala Terengganu.

Keputusan itu terpaksa diambil bagi memastikan kedua-dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dapat menjalani sesi pemulihan dan segera pulih daripada masalah kecederaan hamstring.

Pan-gon akui terkilan kerana tidak dapat menguji kedua-dua pemain untuk aksi persahabatan antarabangsa kedua menentang Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.

"Sudah tentu sebagai jurulatih, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menguji sepenuhnya kedua-dua pemain tersebut pada jendela hari perlawanan Fifa kali ini tetapi pada masa yang sama berasa sedih atas kecederaan dialami oleh Natxo dan Feroz.

"Semoga kedua-dua mereka cepat sembuh dan boleh kembali beraksi dalam saingan liga domestik bersama JDT, seterusnya kembali cergas untuk dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, Natxo hadir melapor diri bersama pemain-pemain lain pada 10 Jun lalu tetapi pemantauan harian oleh doktor dan fisioterapi pasukan mendapati pemain itu tidak bersedia untuk beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Kepulauan Solomon, Rabu lalu dan Papua New Guinea, Selasa ini.

Sementara Feroz diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi bertemu Kepulauan Solomon tetapi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-44 kerana mengalami kecederaan hamstring, di mana Malaysia menang 4-1.

Dengan ketiadaan Natxo dan Feroz, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea.

"Pada kesempatan ini, saya juga ingin menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku pemilik JDT atas kesediaan dan keprihatinan baginda untuk skuad Harimau Malaya menggunakan khidmat para pemain dari kelab tersebut.

"Sepertimana yang diketahui umum, separuh daripada skuad Harimau Malaya ini dibarisi oleh pemain dari JDT dan sudah tentu, dengan sokongan dan bantuan Tunku Ismail, kami di barisan kejurulatihan Harimau Malaya dapat membentuk gandingan dan gabungan skuad yang mantap bersama pemain-pemain dari kelab lain yang dipanggil kali ini," kata Pan-gon lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 5:48 PM