REAKSI Guardiola ketika City menentang Wolves di Stadium Molineux, awal pagi tadi.   FOTO Reuters
REAKSI Guardiola ketika City menentang Wolves di Stadium Molineux, awal pagi tadi. FOTO Reuters
Agensi

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris berakhir selepas tewas 2-3 kepada Wolves, awal pagi tadi.

City kini di tangga ketiga Liga Perdana dengan 14 mata di belakang pendahulu Liverpool dan satu mata di belakang Leicester City.

Ketika ditanya jika pemburuan gelaran sudah pun berakhir, Guardiola berkata kepada BBC Radio 5 Live: "Ya, jurang itu terlalu jauh."

City tewas lima perlawanan musim ini, lebih satu daripada keseluruhan kempen 2018-19.

Mereka beraksi lebih satu perlawanan berbanding Liverpool yang hanya tercicir dua mata musim ini sejak Mac lalu dengan 26 kemenangan daripada 27 aksi dan hanya dua perlawanan lagi untuk kekal tanpa kalah sepanjang tahun.

"Tidak realistik lagi memikirkan Liverpool, kami perlu fikirkan Leicester," kata Guardiola. “Kami berpeluang merampas tangga kedua. Saya tahu kualiti pasukan saya tetapi itu situasinya.”

Manchester City telah pun memenangi satu trofi musim ini dengan menewaskan Liverpool menerusi penentuan penalti pada Perisai Komuniti, Ogos lalu.

Mereka masih bersaing dalam kejohanan domestik dan mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid.

City akan menentang kelab Liga Dua, Port Vale pada pusingan ketiga Piala FA pada 4 Januari sebelum berdepan musuh tradisi, Manchester United pada peringkat pertama separuh akhir Piala Liga pada 7 Januari.

Tetapi Guardiola menegaskan City tidak mengutamakan kejohanan itu dan lebih menumpukan slot Eropah musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 10:40 AM