GUARDIOLA pada sidang media sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Instanbul. -FOTO AFP
GUARDIOLA pada sidang media sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Instanbul. -FOTO AFP
Reuters

Istanbul: Penguasaan Manchester City dalam landskap bola sepak Inggeris tidak dipertikaikan selepas berjaya mengumpul trofi di bawah kendalian Pep Guardiola namun kemenangan ke atas Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi Ahad ini akan membuktikan bahawa mereka adalah raja di benua itu.

Guardiola menyerahkan trofi ke-11 dalam tempoh tujuh tahun bersama City kepada pemilik, Sheikh Mansour selepas City menewaskan Manchester United untuk memenangi Piala FA hujung minggu lalu selain merangkul kejuaraan Liga Perdana kelima dalam enam musim sebelum itu.

Kini hanya Inter akan menjadi batu penghalang usaha mereka untuk merangkul treble seterusnya menyamai pencapaian unik Manchester United pada tahun 1999.

Mencontohi United akan membantu untuk menghilangkan rasa rendah diri yang berterusan yang menjadi sebahagian daripada DNA City apabila mereka sering tewas di peringkat teratas ketika seteru mereka itu sudah memiliki segala-galanya.

Namun apa yang lebih penting lagi adalah memiliki trofi Eropah yang diingini buat kali pertama selepas pemilik City di Abu Dhabi membuat pelaburan besar dengan membeli kelab itu sejak 2008.

City hampir pada meraihnya pada 2021 namun mereka tewas dalam perlawanan akhir kepada Chelsea di Porto, kekalahan yang masih menghantui Guardiola yang cuba merangkul trofi itu buat kali ketiga selepas membawa Barcelona pada 2009 dan 2011.

Kali ini Guardiola pasti mahu menewaskan Inter, yang tidak ramai menduga mereka akan mara ke final buat kali pertama sejak menewaskan Bayern Munich 2-0 pada 2010.

Yang jelas City akan bermula sebagai pasukan pilihan dan itu tidak diragukan lagi.

Mereka mengatasi Bayern Munich dan Real Madrid dalam perjalanan ke final dan mempunyai pemain yang akan memanaskan Stadium Olimpik Ataturk Istanbul pada hari awal pagi Ahad ini apabila berdepan skuad utama Inter.

Pemain antarabangsa Norway Erling Haaland, penjaring 52 gol dalam semua pertandingan akan mengetuai bahagian serangan dibantu Kevin De Bruyne bersama-sama kapten, Ilkay Gundogan yang mungkin akan bermain perlawanan terakhirnya dan ia jelas bukan satu tugas yang mudah buat Inter menghalang jentera serangan City.

Tetapi Guardiola sudah lama mengetahui bahawa mengambil langkah terakhir bukanlah formaliti.

"Sejujurnya, perlawanan akhir menentang pasukan Itali bukanlah hadiah terbaik," katanya semasa membuat persiapan.

"Tapi jika kami mahu membuat langkah muktamad sebagai kelab besar, kami mesti menang di Eropah," kata Guardiola, yang menyertai City pada 2016..

"Kami perlu memenangi. Itu sesuatu yang anda tidak boleh elakkan," kata Guardiola.

Inter bimbingan Simone Inzaghi menduduki tempat ketiga dalam Serie A, 18 mata besar di belakang juara Napoli.

Tetapi turun sebagai pasukan underdog adalah salah satu perkara yang menggembirakan buat mereka seperti yang mereka lakukan pada 2010 apabila pasukan Jose Mourinho mengejutkan Bayern dengan aksi serangan balas yang hebat.

Memilik Alessandro Bastoni, bekas pemain Manchester United, Matteo Darmian dan Francesco Acerbi, Inter juga turut memiliki trio pertahanan yang mahir dalam kaedah terbaik Itali dan mampu menghalang serangan City.

"Menjadi bekas pemain United mungkin motivasi tambahan. Ia bagus untuk bermain menentang mereka. Ia akan menjadi seperti derby bagi saya," kata Darmian.

"Ia tidak akan mudah. Mereka adalah pasukan terbaik di dunia tetapi kami mempunyai keupayaan untuk menewaskan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 9:21 AM