AFP

London: Pemain pertahanan Manchester City, Kyle Walker menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun dengan pemenang treble musim lalu itu.

Walker bersetuju terma perjanjian baharu itu hanya beberapa minggu selepas masa depannya bersama pasukan Pep Guardiola diragui apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich.

Pemain berusia 33 tahun itu tidak banyak diturunkan musim lalu dan digugurkan daripada kesebelasan utama ketika City merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara City ke atas Inter Milan pada Jun.

Walker berada di tahun terakhir perjanjian sedia ada dengan City, tetapi juara Liga Perdana Inggeris itu mengekalkan bek kanan pada tarikh akhir perpindahan dan berjaya memujuknya untuk melanjutkan tempohnya di City.

"Saya teruja untuk menandatangani perjanjian baharu. Masa depan saya bersama Manchester City dan itu adalah perkara terbaik untuk saya," kata Walker yang sudah memenangi 13 trofi utama bersama City.

"Saya menikmati setiap detik sepanjang enam tahun yang lalu di kelab yang hebat ini."

WALKER pilih untuk terus kekal bersama City. -FOTO AFP
WALKER pilih untuk terus kekal bersama City. -FOTO AFP

Walker memulakan empat perlawanan City dalam EPL musim ini, menjadi kapten beberapa kali ketika Guardiola meletakkan keyakinan terhadapnya.

Menyasarkan untuk meraih lebih banyak kejayaan musim ini, Walker berkata: "Musim kejuaraan treble satu daripada yang tidak akan saya lupakan dan kami sedia untuk terus mencuba memenangi lebih banyak trofi.

"Kami perlu memastikan kami ada di sana bersaing pada peringkat akhir semua pertandingan dan berjuang merebut kejuaraan."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 7:19 AM