AZAM Azmi (dua kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada  pada perlawanan Suku Akhir Piala Fa menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
AZAM Azmi (dua kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan pada pada perlawanan Suku Akhir Piala Fa menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Finalis musim lalu, Terengganu FC (TFC) mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala FA selepas membenam cabaran pasukan jiran, Kelantan FC 4-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, petang ini.

Bagaimanapun skuad kendalian Tomislav Steinbruckner yang turun dengan jersi ketiganya terpaksa 'mandi peluh' terutama beraksi dalam cuaca panas di depan lebih 5,000 penonton yang hadir.

Pada perlawanan itu, TFC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad di dalam kotak penalti pada minit ke-17 yang gagal ditepis penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.

Pada minit ke-28, hasil hantaran cantik pemain import kelahiran Haiti, Sony Norde, penyerang Ivan Mamut berjaya menjaringkan gol untuk pasukannya, tapi tidak disahkan pengadil perlawanan, S Logeswaran kerana pemain bernombor tujuh itu didapati terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan ofsaid.

Namun kehampaan tersebut tidak lama apabila Mamut berjaya mencipta jaringan kedua untuk pasukannya apabila bijak melambungkan bola melepasi jangkauan Nik Mohd Amin ketika berada di luar kotak penalti lawan untuk mencatat nama selaku pencetak gol pada minit ke-41.

Kelantan yang tersentak dengan dua jaringan itu akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-45 menerusi Ismaheel Akinade yang bijak memanfaatkan peluang tersebut susulan kesilapan barisan pertahanan TFC.

Sedar hanya berkelebihan satu gol, pada minit ke-52, Norde bijak menggelecek penjaga gol pelawat selepas mendapat hantaran cantik daripada kapten, Habib Haroon untuk pasukannya mendahului 3-1.

Pada minit ke-64, Ismaheel sekali lagi bertindak cemerlang apabila berjaya merapatkan kedudukan 2-3 apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas Shahrul Nizam Ros Hasni menarik kapten pelawat, Mario Blasco.

Berbekalkan sokongan padu peminat yang hadir, pemain sayap meningkat naik, Syafik Ismail mencetak namanya sebagai penjaring gol keempat apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti pada minit ke-82 menerjah jaring untuk pasukannya mendahului 4-2 dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

TFC yang muncul naib juara musim lalu selepas tumpas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal berdepan sama Sabah atau Kuala Lumpur City (KL City FC) pada aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 7:28 PM