MINTAH (kiri) cuba melepasi Izham Tarmizi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
MINTAH (kiri) cuba melepasi Izham Tarmizi pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) 'menangis' di laman sendiri selepas tumpas 1-2 kepada pasukan tetangga, Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner kini menghuni tangga kelapan liga dengan mengutip 13 mata manakala skuad Tok Gajah kendalian jurulatih kelahiran Singapura, Fandi Ahmad naik satu anak tangga di kedudukan ketiga dengan 22 mata, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah.

TFC yang mengintai kemenangan kelima mendapat peluang terbaik pada minit ke-12 menerusi penyerang Croatia, Ivan Mamut hasil sepakan percuma Hakimi Abdullah, namun tandukannya dapat dibaca penjaga gol pelawat kelahiran Marang, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Memasuki minit ke-30, pintu gol skuad Penyu akhirnya bocor hasil jaringan bekas penyerang import TFC musim lalu, Kpah Sherman yang mudah menolak masuk bola berpunca sepakan percuma Stefano Brundo yang sebelum itu gagal dikeluarkan pertahanan TFC.

Tersentak jaringan itu, Steinbruckner yang menurunkan tiga penyerang importnya diketuai Jordan Mintah, Mamut dan Adisak Kraisorn menggandakan asakan untuk memburu jaringan penyamaan.

Hasilnya pada minit ke-39, berpunca hantaran Adisak, Mamut yang tidak dikawal bijak membaca gerakan itu sebelum merembat deras dalam kotak penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, Sherman terus menjadi ancaman buat kubu tuan rumah apabila nyaris menambah jaringan kedua pasukannya menerusi tandukan hasil hantaran Zuhair Aizat, tapi penjaga gol TFC, Suhaimi Husin sudah bersedia untuk menafikan percubaan itu.

TFC berpeluang menambah jaringan menerusi tandukan Mamut dan rembatan pemain gantian, Sony Norde, bagaimanapun kecemerlangan Izham menyaksikan tuan rumah kempunan untuk meledak gol kedua.

Akhirnya, 'arkitek' pelawat, Nor Azam Azih merembat deras dari luar kotak penalti pada minit ke-68 untuk Sri Pahang mendahului 2-1 dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 11:09 PM