PEMAIN TFC meraikan jaringan kedua daripada Adisak. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC meraikan jaringan kedua daripada Adisak. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) berada dalam landasan kemenangan selepas tidak berdepan masalah menumpaskan Kelantan FC 5-0 dalam aksi 'derby' Pantai Timur di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.

Kemenangan itu yang ketiga dan jaringan terbesar setakat ini selepas tujuh perlawanan sekali gus menyaksikan pasukan itu berada di tangga keenam Liga Super dengan mengutip 10 mata.

Skuad Penyu yang menyenaraikan tiga penyerang, Ivan Mamut, Adisak Kraisorn dan Jordan Mintah bermula garang dengan percubaan pertama pada minit kelima menerusi penyerang kebangsaan Thailand, Adisak, namun digagalkan pertahanan pelawat.

Dua minit berselang, giliran penyerang kelahiran Croatia, Mamut pula mencuba nasib menerusi rembatan padu, tapi penjaga gol pelawat, Nik Mohd Amin Ahmad lebih pantas menghalang percubaan itu.

Bagaimanapun percubaan ketiga tuan rumah menerusi penyerang kelahiran Ghana, Mintah pada minit ke-15 selepas mendapat umpanan daripada Syafik Ismail membuahkan hasil apabila rembatan deras dari luar kotak penalti menerjah jaring pelawat untuk pasukannya mendahului 1-0.

Enam minit berselang, Adisak tidak melepaskan peluang mencetak namanya sebagai penjaring apabila rembatan leretnya juga dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol pelawat untuk pasukannya mendahului 2-0.

Pada minit ke-38, Syafik terlepas peluang menambah jaringan ketiga sesudah gagal menyudahkan peluang terhidang selepas menyepak tinggi bola walaupun hanya berdepan penjaga gol.

Sepanjang babak pertama, skuad The Red Warriors hanya mendapat satu peluang terbaik menerusi pemain importnya, Miguel Cifuentes pada minit ke-12 yang berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Suhaimi Hussin.

Bersambung babak kedua, pelawat menukar strategi permainan dengan kerap mengasak di kedua-dua arah, namun peluang terbaik dimiliki penyerang importnya, Ismaheel Akinade pada minit ke-62, gagal diterjemahkan dengan jaringan.

Berbekalkan sokongan padu lebih 5,000 peminat setia, tuan rumah berjaya menambah jaringan ketiga menerusi sepakan penalti Mamut pada minit ke-66 selepas dia dijatuhkan pertahanan pelawat, Muhammad Afiq Azuan untuk skuad Penyu terus selesa mendahului 3-0.

Jaringan Mamut itu gol sulungnya pada musim ini selepas bergelut untuk membuka 'akaun' gol pertamanya selepas enam perlawanan sebelum ini.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-90, Mamut menambah jaringan keempat pasukannya hasil hantaran Hakimi Abdullah sebelum Hakimi menambah derita pelawat selepas meledak jaringan kelima pada masa kecederaan untuk keputusan muktamad 5-0 memihak kepada TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:10 AM