STUART ketika sidang media mengenai Kalendar Liga Malaysia 2023 di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
STUART ketika sidang media mengenai Kalendar Liga Malaysia 2023 di Wisma FAM hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Suasana ala Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal dirasai peminat bola sepak tempatan apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) akan dilangsungkan di sebelah petang, sekali gus membawa perubahan baharu dalam kempen musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, perubahan itu dibuat bagi menyemarakkan lagi suasana Liga M.

Malah, ia dilihat pendekatan berbeza dan mampu membawa pengalaman baharu buat penyokong yang sebelum ini kerap melihat perlawanan EPL secara langsung di kaca televisyen pada waktu petang yang cukup meriah.

"Langkah MFL untuk memperkenalkan waktu sepak mula baharu iaitu lebih awal pada sebelah petang adalah untuk menyuntik suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta mewujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik.

"Walau bagaimanapun, waktu sepak mula perlawanan juga tertakluk kepada penyiar rasmi dan MFL," katanya pada sidang media pengumuman Liga M musim ini di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.

Empat pilihan waktu disusun oleh MFL yang menyaksikan sepak mula di sebelah petang akan dimulakan pada jam 5.15 atau 5.30 petang yang digunapakai di Semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak pula jam 4.30 atau 4.45 petang.

Tiga lagi waktu perlawanan di Semenanjung adalah pada jam 8.15 malam; 9 malam dan 10 malam (di bulan Ramadhan).Sementara di Borneo pula akan berlangsung pada jam 7.30 malam; 8.15 malam dan 9.15 malam (bulan Ramadhan).

Musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) beraksi di sebelah petang dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim dan ia menyaksikan sambutan positif penyokong tempatan sekali gus mahu MFL mengubah waktu perlawanan Liga M di sebelah petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 9:45 PM