Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mendedahkan skuadnya terpaksa 'mandi peluh' sebelum melakar kemenangan menumpaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Jurulatih baharu skuad Harimau Selatan itu menjelaskan, skuadnya juga hampir 'berputih mata' untuk membawa pulang mata penuh selepas skuad Penyu bangkit pada babak kedua perlawanan.

Namun katanya, disiplin bertahan dan penguasaan bola yang baik sepanjang perlawanan antara faktor skuadnya berjaya meneruskan rekod cemerlang walaupun beraksi di tempat lawan.

"Kami tahu ianya perlawanan yang sukar buat kami kerana TFC adalah sebuah pasukan yang kuat ditambah pula sokongan padu daripada ribuan penyokong mereka.

"Lagipun setiap perlawanan adalah berbeza juga mengikut pasukan lawan, namun pemain kami berjaya mengawal bola dengan baik walaupun kadang kala agak sukar. Pada waktu rehat saya beritahu pemain berusaha mencari gol kedua kerana kami tahu TFC pasti memberi tentangan yang hebat untuk memburu gol penyamaan.

"Pasukan kami dapat melakukan tugas dengan baik, bekerja keras dan berjaya mengawalnya hingga akhir perlawanan, paling penting kami dapat mengutip tiga mata untuk dibawa pulang," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, penjaring berbisa skuad Harimau Selatan, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri masing-masing meledak satu gol pada setiap babak, manakala gol sagu hati TFC hasil sepakan percuma pemain gantian, Mohamad Hakimi Abdullah pada babak kedua.

Kedua-dua pasukan bakal membuat perhitungan pada aksi final Piala FA yang tarikhnya bakal ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

BIDOGLIO (kanan) semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
BIDOGLIO (kanan) semasa sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 11:15 AM