TEN Hag tidak sabar untuk menurunkan Garnacho. FOTO AFP
TEN Hag tidak sabar untuk menurunkan Garnacho. FOTO AFP
Reuters

Manchester: Pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho mungkin kembali beraksi menentang West Ham selepas diketepikan selama dua bulan akibat kecederaan buku lali.

Pengurus United, Erik ten Hag berkata, mereka memerlukan khidmat Garnacho untuk memperbaiki rekod di tempat lawan.

United gagal untuk menumpaskan pasukan yang berada di kelompok sembilan teratas di tempat lawan musim ini dan pemain Argentina berusia 18 tahun sudah kembali cergas sekali gus boleh memberi peluang kepada pasukan Ten Hag memperbaiki prestasi mereka.

Garnacho berjaya tampil cemerlang untuk musim pertama, dengan menjaringkan empat gol dan menghasilkan lima bantuan jaringan dalam semua kejohanan.

"Saya rasa mungkin akan menggunakan skuad sama (ketika menentang Brighton & Hove Albion). Mungkin ada pertukaran seorang pemain, Garnacho. Saya akan melihat dulu. Mungkin dia akan terbabit namun kami harus melihat bagaimana kemampuannya," kata Ten Hag.

United, yang berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL), berada empat mata di hadapan Liverpool di tangga kelima dengan satu perlawanan dalam tangan.

Pasukan Ten Hag berbaki lima perlawanan liga, bermula dengan lawatan hujung minggu ke West Ham, sebelum mereka menentang musuh setempat, Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA.

Pengendali kelahiran Belanda itu berkata, beliau yakin United boleh bangkit daripada kekalahan 0-1 di Brighton dan beraksi dengan baik pada perlawanan baki akhir musim ini tetapi menggesa pasukan itu untuk menunjukkan watak selepas keputusan buruk.

"Kami setiap masa dalam musim ini, apabila mengalami kekalahan, kemudian kami bangkit. Jadi saya bergantung kepada pasukan saya, kita perlu melakukannya sekali lagi," kata Ten Hag.

"Pemain perlu bertanggungjawab dan saya bergantung kepada mereka. Kami mempunyai segala-galanya di tangan kami, jadi kami perlu fokus pada prestasi kami... Saya cukup yakin mengenai itu.

"Kami perlu berada di sana, dalam Liga Juara-Juara (musim depan). Kami mahu berada di sana kerana kami mahu mencabar pasukan terbaik di dunia jadi kami melakukan segala-galanya dalam kuasa kami untuk menyelesaikannya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 11:43 AM