MARTINEZ (kiri) boleh diturunkan apabila Man United berkunjung ke Brentford untuk perlawanan EPL awal pagi Ahad ini. FOTO REUTERS
MARTINEZ (kiri) boleh diturunkan apabila Man United berkunjung ke Brentford untuk perlawanan EPL awal pagi Ahad ini. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pemain pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez sedia diturunkan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford pada awal pagi Ahad, kata pengurus, Erik ten Hag, hari ini.

Bek tengah Argentina berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan ligamen lutut ketika United menang 3-0 ke atas West Ham United pada Februari lalu.

United yang kini menduduki tangga keenam liga ketika berbaki 10 perlawanan akan berkunjung ke barat London untuk berdepan pasukan di tangga ke-15, Brentford.

"Ya, ada kemungkinan (dia akan berada dalam skuad)," kata Ten Hag kepada wartawan.

"Kami merinduinya pada setiap perlawanan kerana dia membawa ketenangan dan mampu menyusun pasukan dengan baik. Pada masa sama, dia memiliki semangat mahu menang yang ditunjukkan dengan jelas. Dia mampu memindahkannya kepada pasukan dan ia banyak menyumbang kepada tahap kami."

Pengendali dari Belanda itu turut mendapat berita gembira apabila bek kiri, Luke Shaw dijangka kembali sebelum hujung musim selepas cedera otot.

"Dia masih mengikut perancangan dan akan kembali bersama pasukan kami," tambah Ten Hag.

Satu lagi berita positif buat United apabila pemain tengah sedang meningkat naik, Kobbie Mainoo, 18, yang membuat penampilan sulung bersama England sebagai pemain gantian ketika tewas 0-1 di tangan Brazil, hujung minggu lalu, mempamerkan prestasi cemerlang ketika seri 2-2 dengan Belgium di Wembley, Selasa lalu.

Mainoo adalah graduan akademi remaja United dan membuat 14 penampilan di EPL pada musim ini.

Ten Hag berkata, dia tidak terkejut dengan permulaan baik dilakukan Mainoo dalam karier antarabangsanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 10:33 PM