AKSI Marcus Rashford (kanan) ketika bertemu Brighton. FOTO AFP
AKSI Marcus Rashford (kanan) ketika bertemu Brighton. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United perlu kembali melakar kemenangan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Wolves, Sabtu ini.

United kini berdepan tekanan untuk mempertahankan kedudukan empat teratas, selepas tewas di Brighton & Hove Albion dan West Ham United, tetapi kini mempunyai masa mencukupi melakukan persiapan bagi aksi di Old Trafford.

Tiga mata penuh menentang anak buah Julen Lopetegui akan membawa United kembali ke landasan tepat merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dengan Alejandro Garnacho kemungkinan kembali beraksi.

Pemain berusia 18 tahun itu tidak beraksi sejak seri menentang Southampton Mac lalu berikutan mengalami kecederaan buku lali.

Pemain sayap itu diletakkan di bangku simpanan namun tidak beraksi ketika bertemu West Ham di Stadium London selepas dipanggil semula ke dalam skuad.

Khidmat Raphael Varane tidak dapat digunakan kerana mengalami kecederaan bersama-sama dengan rakannya di benteng pertahanan tengah, Lisandro Martinez.

Bintang Argentina itu pasti diketepikan untuk baki kempen musim ini selepas selamat menjalani pembedahan kaki.

Tom Heaton, Donny van de Beek dan Scott McTominay juga mengalami kecederaan ketika United menghampiri penghujung kempen liga.

Erik ten Hag meletakkan kembali Wout Weghorst dalam kesebelasan utama ketika menentang West Ham, dengan pemain gantian, Anthony Martial dimasukkan pada separuh masa kedua dan hampir beberapa kali berpeluang meledak gol.

United masih mempunyai kelebihan satu mata di hadapan Liverpool di tangga kelima dengan kurang satu perlawanan, tetapi mereka mesti kembali melakar kemenangan di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 7:41 AM