FERNANDES (kanan) dan Alejandro Garnacho meraiikan gol kemenangan dijaringkan Amad Diallo. FOTO REUTERS
FERNANDES (kanan) dan Alejandro Garnacho meraiikan gol kemenangan dijaringkan Amad Diallo. FOTO REUTERS
AFP

London: Bruno Fernandes menggesa Manchester United menggunakan kemenangan 'berapi' ke atas Liverpool di suku akhir Piala FA sebagai pembakar semangat untuk mengatasi musim mereka yang bermasalah.

Anak buah Erik ten Hag bangkit daripada ketinggalan 1-2 dan 2-3 untuk menang 4-3 selepas masa tambahan yang panas di Old Trafford, awal pagi tadi.

Jaringan kemenangan pada saat akhir menerusi Amad Diallo mengurangkan tekanan dihadapi Ten Hag dan meletakkan United pada landasan untuk memburu trofi pada musim yang bercelaru.

"Perlawanan ini sedikit pedas, lebih istimewa kerana ia adalah perlawanan Piala FA dan jika tewas, anda akan tersingkir," kata kapten United itu.

"Kami sedar perseteruan antara penyokong, kami tahu betapa penyokong United mahu kami menang perlawanan ini bagi mendapatkan sesuatu untuk diraikan kerana ia bukan musim yang bagus buat kami."

United akan berdepan kelab Liga Kejuaraan, Coventry di separuh akhir Piala FA di Wembley, bulan depan.

Sebelum itu, Fernandes mahu rakan sepasukannya menggunakan momentum kemenangan ke atas Liverpool dan mengubahnya kepada rentak kemenangan berterusan.

Musim lalu, selepas Ten Hag memulakan regim dengan kekalahan di tangan Brighton dan Brentford, kemenangan ke atas Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) mengubah menjadi penampilan yang cemerlang buat pengendali dari Belanda itu.

United menang Piala Liga untuk menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi sebelum mara ke final Piala FA dan menduduki tempat ketiga EPL.

Justeru, Fernandes berharap kemenangan itu menjadi titik perubahan dalam usaha mereka memburu slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim depan.

"Kami bercakap mengenai perubahan, tetapi tidak pernah melangkah berikutnya. Kami faham Piala FA dan EPL adalah sesuatu yang berbeza," kata pemain tengah Portugal itu.

"Kami adalah 10 lagi perlawanan liga dan kami tidak bergantung kepada diri sendiri. Kami lihat Tottenham hilang mata di tangan Fulham, Villa terlepas mata kepada West Ham."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 9:43 PM