RASHFORD (tengah) masih belum cergas sepenuhnya menjelang aksi bertemu Sheffield United. FOTO AFP
RASHFORD (tengah) masih belum cergas sepenuhnya menjelang aksi bertemu Sheffield United. FOTO AFP
Reuters

London: Manchester United mungkin beraksi tanpa penyerang, Marcus Rashford dan pemain tengah, Scott McTominay akibat kecederaan apabila mereka menentang pasukan tercorot Sheffield United di Old Trafford Khamis ini, kata pengurus Erik ten Hag.

Rashford yang berusia 26 tahun mengharungi kempen 2022-23 yang cemerlang, menjaringkan 30 gol dalam semua pertandingan dan seterusnya dinamakan sebagai pemain terbaik United, tetapi pemain antarabangsa England itu hanya menjaringkan lapan gol musim ini.

McTominay pula meledak 10 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Kedua-duanya mengalami kecederaan pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Coventry City, yang dimenangi United menerusi sepakan penalti di Wembley.

"Kami mempunyai masalah dengan (Alejandro) Garnacho, itulah sebabnya kami mengeluarkannya semasa perlawanan, tetapi saya fikir dia akan baik-baik saja," kata Ten Hag kepada pemberita.

"Scott kita perlu menilai hari ini, benar-benar meragukan. Marcus juga masih belum pasti, dan terdapat juga isu dengan Bruno (Fernandes) pada bahagian tangan tetapi saya fikir dia boleh beraksi.

"Kami mempunyai beberapa keraguan untuk menghadapi perlawanan esok (Khamis ini)."

United sudah pun berdepan krisis pertahanan kerana kecederaan dialami Lisandro Martinez, Raphael Varane, Victor Lindelof, Jonny Evans, Luke Shaw dan Tyrell Malacia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 11:28 PM