ROBERTO De Zerbi (kanan). FOTO AFP
ROBERTO De Zerbi (kanan). FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Brighton, Roberto De Zerbi berkata, dia berdepan masalah memilih pemain menjelang kunjungan Manchester United, awal pagi Jumaat ini.

Seagulls mahu membalas dendam kekalahan aksi separuh akhir Piala FA bulan lalu dan akan tampil pada perlawanan Jumaat ini selepas membelasah Wolves 6-0.

De Zerbi meletakkan pemain berstatus bintang Alexis Mac Allister, Moises Caicedo dan Kaoru Mitoma di bangku simpanan pada perlawanan itu.

Penyerang Deniz Undav meledak dua gol sebelum Pascal Gross dan Danny Welbeck meledak empat gol lagi.

Brighton menerima pujian kerana mengambil pendekatan membangunkan pemain dan kini De Zerbi akui beliau berdepan kesukaran mengenai siapa yang perlu diketepikan selepas kemenangan bergaya ke atas Wolves.

"Saya serta pemain tidak sabar menantikan perlawanan Khamis ini dan memutuskan barisan kesebelasan utama. Ia pasti akan berdepan masalah, saya rasa tidak boleh tidur, tetapi ia tidak menjadi masalah," katanya.

Brighton ketinggalan 11 mata di belakang United dan sedang memburu tiket ke saingan Eropah manakala skuad bimbingan Erik ten Hag sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan empat teratas selepas menewaskan Aston Villa 1-0, Ahad lalu.

United akan beraksi tanpa Lisandro Martinez dan Raphael Varane namun memperoleh suntikan semangat apabila Alejandro Garnacho kembali menjalani latihan.

Pemain sayap itu tidak beraksi sejak mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Southampton pada 12 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 10:15 AM