DORTMUND diikat pasukan bergelut VfL Bochum. FOTO AFP
DORTMUND diikat pasukan bergelut VfL Bochum. FOTO AFP
AFP

Berlin: Borussia Dortmund berdepan tamparan hebat dalam pemburuan merebut gelaran Bundesliga ke atas Bayern Munich selepas diikat 1-1 dengan pasukan yang sedang bergelut, VfL Bochum, awal pagi tadi.

Bochum yang hanya dua mata berada di atas zon penyingkiran, menjaringkan gol selepas lima minit beraksi hasil rembatan Anthony Losilla dari luar kotak.

Dortmund berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang Jerman, Karim Adeyemi yang meledak untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Ketika perlawanan menuju ke penghujung, Adeyemi dilihat boleh mendapatkan penalti untuk pasukan pelawat apabila dijatuhkan dalam kotak oleh Danilo Soares namun pengadil bertindak sebaliknya.

Mereka juga dikecewakan dengan keputusan pengadil susulan dua tuntutan penalti mereka pada lewat perlawanan dinafikan.

Bayern kini boleh mendahului satu mata dalam usaha mereka untuk meraih kejuaraan ke-11 berturut-turut dengan menang di tempat sendiri menentang pasukan tangga terakhir Hertha Berlin pada esok.

Pengurus Dortmund, Edin Terzic kecewa dengan keputusan yang disifatkan sebagai 'amat pahit' kerana pasukannya mempunyai 'peluang yang jarang diperoleh apabila begitu hampir dengan kejuaraan.'

Terzic berkata kegagalan pengadil menyemak insiden penalti Adeyemi adalah babak penting untuk dinilai semula dan "Saya merayu dia untuk melihatnya," katanya.

"Sesuatu yang sangat mengecewakan buat kami. Ia perlawanan yang sengit tetapi kami memperoleh peluang," kata Terzic.

"Saya mohon maaf atas nada dan emosi saya tetapi saya menyatakannya minggu lalu kepada pasukan dan saya yang ini mungkin satu-satunya peluang berharga untuk lebih menghampiri gelaran itu.

Manakala jurulatih Bochum, Thomas Letsch memuji "gaya dan cara pasukannya bertempur" dengan mengatakan "itulah yang kami perlukan dalam pertempuran penyingkiran."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 8:36 AM