Kapten Borussia Dortmund, Marco Reus (kiri) melepasi kawalan pemain Union Berlin. FOTO Reuters
Kapten Borussia Dortmund, Marco Reus (kiri) melepasi kawalan pemain Union Berlin. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Marco Reus memberi maklum balas kepada ejekan penyokong tuan rumah menerusi dua gol menentang Union Berlin, ketika Borussia Dortmund melakar kemenangan 3-0 untuk merapatkan jurang bersama pendahulu Bundesliga dengan enam mata.

Reus yang memenangi kontroversi penalti ketika dua pasukan berkenaan bertemu musim lalu diberi sambutan dingin oleh penyokong lawan di bandar itu.

Dia membuatkan penyokong terdiam menerusi dua gol pada babak pertama tatkala Dortmund bangkit daripada kekalahan minggu lalu kepada Leverkusen sekali gus memastikan kemenangan sulung mereka di Union.

"Minggu lalu sangat teruk dan kami mahu memberikan maklum balas hari ini. Ia agak sukar untuk datang ke sini kerana Union adalah pasukan yang sangat bagus," kata Reus kepada DAZN.

Malah dia segera mengulas pertanyaan yang sering diajukan pemberita mengenai pemburuan kejuaraan liga.

"Kita tidak perlu berterusan menjawab soalan itu, jadi tolong jangan tanya mengenai perkara itu," katanya.

Selepas pendahulu liga, Bayern mencatat kekalahan mengejut di tangan pasukan kerdil, Bochum semalam, pertarungan di bandar itu adalah kemenangan yang penting buat pasukan di tangga kedua liga, Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 9:09 AM