NASRULLAH Hanif (kanan) mahu rakan-rakan berikan komitmen tinggi dalam pertembungan dengan PIB FC pada aksi Piala FA, esok. FOTO Legasi Lagenda
NASRULLAH Hanif (kanan) mahu rakan-rakan berikan komitmen tinggi dalam pertembungan dengan PIB FC pada aksi Piala FA, esok. FOTO Legasi Lagenda
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak akan memandang rendah keupayaan PIB FC apabila melayani kunjungan pasukan itu dalam saingan Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Selepas musim lalu tersekat di pertengahan jalan, skuad Hobin Jang Hobin mahu memastikan mereka dapat melangkah lebih jauh pada saingan kalah mati itu musim ini.

Sehubungan itu, penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan, mahu rakan-rakan dalam skuad berkenaan berjuang habis-habisan bagi memastikan kemenangan dapat dicapai.

Katanya, pasukannya perlu berwaspada dengan gerakan dan tentangan serta kelibat barisan serangan yang bakal diberikan juara Liga M3 musim lalu itu.

"Kami melihat semua pencabar dalam saingan Liga Malaysia adalah sama dan begitu juga dengan pasukan PIB, walaupun mereka beraksi di Liga M3, namun memiliki kekuatan tersendiri yang perlu diberikan perhatian.

"Kami tidak akan memandang rendah keupayaan mereka, sebaliknya akan bersikap berhati-hati dengan tentangan yang bakal mereka tampilkan kerana tidak mahu impian memenangi perlawanan, tersasar.

"Oleh itu, semua pemain yang akan diberikan tugas oleh jurulatih perlu kekal fokus dan memberikan persembahan terbaik dengan memastikan kemenangan dapat dicapai dalam aksi esok," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 11:26 PM