PEMAIN Negeri Sembilan, Anselmo Arruda Da Silva  membuat tendangan ke pintu gol pada perlawanan Piala FA di antara Negeri Sembilan FC menentang PIB Shah Alam FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO Azrul Edham
PEMAIN Negeri Sembilan, Anselmo Arruda Da Silva membuat tendangan ke pintu gol pada perlawanan Piala FA di antara Negeri Sembilan FC menentang PIB Shah Alam FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kegagalan meletakkan bola ke dalam gawang pasukan lawan masih menghantui skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) meskipun sudah melalui lapan perlawanan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Daripada keseluruhan aksi itu, Skuad Hobin Jang Hobin berjaya menjaringkan 11 gol termasuk dua gol ketika menewaskan pasukan Liga M3, PIB FC, dalam aksi Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ketua jurulatih, K Devan menegaskan, kepentingan melakukan penyudah yang tepat terletak sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan skil persembahan setiap pemain dan bukannya taktikal pasukan.

Baginya, kejayaan mencipta banyak peluang tidak akan memberi makna andai ia tidak dapat diterjemahkan dengan jaringan gol.

"Dalam permainan, kalau kita berjaya mencipta banyak peluang, itu bermakna dari segi taktikal permainan sudah ada, tapi dari aspek penyudah itu adalah daripada skil individu penyerang dan juga pemain-pemain.

"Pemain perlu membuat lebih banyak latihan pada intensiti yang baik dan tinggi supaya mereka lebih yakin untuk menjaringkan gol apabila setiap kali mendapat peluang seperti itu dalam permainan," katanya selepas aksi Piala FA, malam tadi.

Dalam aksi itu, kemenangan Negeri Sembilan adalah hasil gol yang dijaringkan Casagrande dan Muhamad Shahrel Fikri Md Fauzi, masing-masing pada minit ke-51 dan 80.

Melalui kejayaan itu, Negeri Sembilan bakal membuat pertembungan dengan Selangor FC pada peringkat suku akhir saingan kalah mati berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 12:30 PM