TOMMY mengasak pemain Sabah FC,  Rizal  Ghazali.
TOMMY mengasak pemain Sabah FC, Rizal Ghazali.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berjaya menjaringkan gol sulung peribadi musim ini, semangat pemain tengah Negeri Sembilan FC (NSFC), Tommy Mawat Bada, terus membara dalam misi menjulang pasukan baharunya itu.'

Malah, pemain berpengalaman itu bertekad meneruskan aksi cemerlangnya pada perlawanan pertama Piala FA menentang Persada Intergriti Bersatu (PIB) FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini.

"Jaringan tunggal ketika menentang Sabah satu bonus buat saya, apatah lagi gol itu membabitkan bekas pasukan. Namun saya sedikit terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan mengutip tiga mata.

"Apapun, satu mata itu tetap bermakna buat Negeri Sembilan kerana menentang pasukan lebih berwibawa dan berada dalam kelompok kelima terbaik carta Liga Super ketika ini.

"Kami juga mahu terus mempertahankan pencapaian yang baik ketika beraksi di gelanggang sendiri," katanya di sini, hari ini.

Pada aksi itu, Tommy melakukan sepakan deras dari jarak kira-kira 30 meter yang menggegarkan jaring gol Sabah FC, namun tidak dapat membantu kepada kemenangan yang diinginkan apabila keputusan perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Mengenai pertembungan dengan PIB dalam saingan kalah mati pertama musim ini, bekas pemain Sabah kelahiran Belaga Sarawak itu, menyifatkan ia perlawanan yang sukar meskipun pasukan lawan berkenaan bukan bersaing dalam Liga Super.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, skuad Hobin Jang Hobin perlu bersikap berhati-hati kerana PIB memiliki reputasi tersendiri selepas pasukan itu berjaya muncul juara Liga M3 musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 2:42 PM