LIRA (tengah) menjaringkan gol tunggal ketika KDA FC menewaskan Penang FC di Stadium Darul Aman, malam tadi. FOTO KDA FC
LIRA (tengah) menjaringkan gol tunggal ketika KDA FC menewaskan Penang FC di Stadium Darul Aman, malam tadi. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain tetap percaya dengan kemampuan penyerang utamanya, Willian Lira yang menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Penang FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Bagi Nafuzi, meskipun dilihat ketandusan gol dalam beberapa perlawanan lalu, namun gol tunggal penyerang kelahiran Brazil itu bakal memberi keyakinan lebih tinggi buatnya dalam usaha meningkatkan lagi kemampuan diri.

"Lira sudah menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan lalu dan saya rasa prestasinya bukanlah teruk sangat, tetapi sebagai penyerang kita tahu sentiasa memerlukan jaringan dalam perlawanan.

"Saya percayakan pemain saya dan tidak mahu cepat menghukum kerana tahu kemampuan yang ada pada Lira.

"Bila saya tengok melalui perlawanan dan latihan, kemampuan dia untuk menjaringkan gol itu memang ada dan saya rasa tak perlu ajar kerana dia sendiri tahu bagaimana hendak menjaringkan gol.

"Kekurangan sekarang cuma berkaitan di posisi mana sepatutnya dia berada untuk menjaringkan gol dan di situ kami perlukan pemain sekeliling untuk memberi hantaran, sokongan dan membuka ruang padanya," katanya.

Nafuzi mengakui kekurangan peluang terbuka untuk melakukan percubaan menyebabkan penyerang yang pernah beraksi dalam Liga Jepun itu ketandusan gol dalam beberapa perlawanan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:51 PM