Faiz Subri bersama but digunakan membuat sepakan percuma menentang Pahang di Stadium Bandaraya. FOTO NSTP/RAMDZAN MASIAM
Faiz Subri bersama but digunakan membuat sepakan percuma menentang Pahang di Stadium Bandaraya. FOTO NSTP/RAMDZAN MASIAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mencalonkan jaringan unik dihasilkan pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri pada Anugerah Puskas 2016 berlangsung Januari tahun depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat badan induk itu untuk dibincangkan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jaringan dia (Faiz) sememangnya cantik dan kita harus berbangga dengan kebolehannya menjaringkan gol seperti itu.

"Ia mungkin kita akan calonkan (Anugerah Puskas) nanti tapi semuanya perlu di bawa berbincang dulu untuk mengetahui syarat atau terma anugerah berkenaan. Kita akan maklumkan kemudian," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelasnya lagi, beliau mengucapkan tahniah kepada pemain pulau mutiara itu dan berharap prestasinya akan meningkat lagi.

Pada Selasa lalu, sepakan percuma Faiz dari jarak 35 meter di minit ke-62 mengejutkan penyokong yang hadir di Stadium Bandaraya apabila bola tendangannya secara tiba-tiba melencong padu menerjah jaring Pahang.

Berita mengenai jaringan itu mendapat perhatian dunia terutamanya media antarabangsa malah ada yang menyifatkan gol itu lebih baik daripada jaringan bekas pemain Brazil, Roberto Carlos yang dilakukannya pada 1997 pada aksi persahabatan antara Brazil dan Perancis.

Anugerah Puskas adalah anugerah tahunan yang mengiktiraf jaringan yang paling cantik dalam dunia bola sepak dengan musim lalu dimenangi oleh pemain Brazil, Wendell Lira.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 6:38 PM