BENZEMA (kanan) meledak hatrik yang membantu Real Madrid membelasah Barcelona 4-0, awal pagi tadi.
BENZEMA (kanan) meledak hatrik yang membantu Real Madrid membelasah Barcelona 4-0, awal pagi tadi.
AFP

Barcelona: Karim Benzema meledak hatrik yang membantu Real Madrid membelasah Barcelona, 4-0 di Camp Nou, awal pagi tadi, untuk mara ke final Copa del Rey dengan agregat 4-1.

Vinicius Junior membuka jaringan sebelum rehat pada ketika anak buah Carlo Ancelotti mencipta kebangkitan sensasi, sekali gus memadam defisit satu gol pada perlawanan pertama menerusi hatrik Benzema pada babak kedua.

Selepas meledak hatrik ke atas Real Valladolid pada aksi La Liga, hujung minggu lalu, Benzema mengulangi kehebatannya untuk memalukan Barcelona dan pengendalinya, Xavi Hernandez di depan 95,000 penyokong sendiri.

Los Blancos ketinggalan 12 mata di belakang seteru utama itu pada carta La Liga dan kalah kepada Barca di final Piala Super Sepanyol, Januari lalu, tetapi kemenangan ini membolehkan mereka mara ke final Copa buat kali pertama sejak 2014 dan mereka akan berdepan Osasuna.

"Ia adalah perlawanan yang sempurna, apabila anda bermain dengan lengkap, anda akan menang 4-0 seperti ini," kata Ancelotti.

"Ini adalah detik paling penting pada musim ini dan apabila kami berada pada suhu tepat seperti ini, kami menjadi pasukan yang bagus."

Madrid yang mencipta rekod sebagai pemenang piala itu sebanyak 31 kali, beraksi cemerlang, sekali gus menamatkan tiga kekalahan berturut-turut pada pertembungan Clasico.

Pemain tengah Barcelona, Sergi Roberto berkata, dibolosi gol Vinicius sebelum wisel rehat adalah satu tamparan hebat.

"Gol mereka di hujung babak pertama itu membunuh kami, kami tidak sepatutnya dibolosi begitu. Saya fikir, kami adalah pasukan lebih baik pada babak pertama," katanya kepada RTVE.

"Kami mencipta lebih banyak peluang, tetapi gagal menyudahkannya dan gol lawan itu menjejaskan moral kami. Pada babak kedua, mereka menjaringkan gol kedua dengan cepat dan kami tidak dapat bermain dengan baik."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 9:00 AM