ATHLETIC Bilbao lakar kejutan tewaskan Madrid. -FOTO EPA
ATHLETIC Bilbao lakar kejutan tewaskan Madrid. -FOTO EPA
AFP

Madrid: Harapan Real Madrid untuk merangkul gelaran berganda saingan domestik musnah apabila Athletic Bilbao menjaringkan gol dramatik minit ke-89 untuk menyingkirkan mereka daripada saingan Copa del Rey.

Jaringan Alex Berenguer hasil kesilapan Casemiro sudah cukup untuk mereka melakarkan kemenangan mengejut 1-0 di San Mames dan membawa Athletic mara ke separuh akhir.

Ketika Barcelona, Atletico Madrid dan Sevilla sudahpun terkeluar daripada saingan Madrid diletakkan sebagai pilihan untuk memenangi Copa del Rey selepas turut menguasai carta La Liga, dengan kelebihan empat mata mengatasi Sevilla.

Athletic kini menyertai Real Betis, Valencia dan Rayo Vallecano dengan peluang untuk menjulang trofi kini seimbang.

Bagi Athletic, kemenangan itu cukup istimewa selepas mereka tewas dua kali di final dalam tempoh dua minggu tahun lalu.

Mereka berjaya menewaskan pasukan Real Madrid yang mempunyai hampir kekuatan penuh dan pastinya yang terbaik dimiliki Carlo Ancelotti biarpun mereka tidak dapat menurunkan Karim Benzema yang masih bergelut dengan kecederaan.

"Kami kecewa kerana kami mahu memenangi semua kejohanan. Kami tersingkir dan kami mempunyai dua kejohanan lain.

"Kami percaya kekalahan ini tidak akan memberi kesan. Malah ia menjadikan kami lebih kuat, kata Ancelotti.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, Real Betis membelasah Real Sociedad 4-0 untuk meneruskan musim cemerlang di bawah kendalian Manuel Pellegrini.

Mereka menghuni tangga ketiga La Liga dengan impian untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, dan berpeluang mengulangi kejayaan Copa del Rey yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 8:44 AM