KROOS melepaskan rembatan yang menghasilkan jaringan ketika berdepan Cadiz. FOTO AFP
KROOS melepaskan rembatan yang menghasilkan jaringan ketika berdepan Cadiz. FOTO AFP
AFP

Madrid: Toni Kroos meledak gol cantik ketika Real Madrid menewaskan Cadiz 2-1, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga, Barcelona kepada dua mata.

Dalam perlawanan terakhir liga sebelum rehat Piala Dunia Qatar, skuad kendalian Carlo Ancelotti terpaksa mengejar seteru tradisi mereka itu, Barcelona, yang menewaskan Osasuna Selasa lalu.

Cadiz bermain agresif dengan pemain sayap Madrid, Vinicius Junior sering dikasari, tetapi anak buah Ancelotti memastikan tiga mata apabila Eder Militao dan Kroos menemui sasaran.

Lucas Perez menjaringkan gol tunggal Cadiz bagi memastikan Madrid terus gagal bermain tanpa dibolosi di laman sendiri musim ini, dan tujuh kali berturut-turut dibolosi dalam saingan liga.

"Kami mempunyai perlawanan yang baik sebelum 10 minit terakhir. Kami mempunyai peluang tetapi dibolosi dengan gol yang tidak sepatutnya.

"Secara keseluruhan kami mengharungi perlawanan yang bagus," kata Kroos.

Madrid turun tanpa penyerang Perancis, Karim Benzema yang tidak dapat berlatih pada Rabu lalu, tetapi disenaraikan untuk skuad negaranya ke Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 10:37 AM